Malaysia belum sedia beralih ke fasa 2 pelan pemulihan, kata pakar kesihatan


Angie Tan

Menjadikan kadar vaksinasi sebagai petunjuk utama bagi membuka semula ekonomi tidak mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

PAKAR kesihatan mengkritik Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tergesa-gesa mengumumkan negara akan memaasuki ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana kadar vaksinasi meningkat.

Kata mereka, kadar vaksinasi bukan petunjuk utama untuk membuka semula negara dan menggesa Putrajaya kekal dengan kriteria mengurangkan jangkitan harian Covid-19, Unit Rawatan Rapi (ICU) stabil, dan kadar jangkitan sebelum menarik sekatan.

Kriteria ini lebih penting memandangkan varian membimbangkan (VOC) Delta yang cepat menular.

Profesor Moy Fong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya berkata, gelombang baharu akan terjadi jika mengabaikan data lain mengenai penularan Covid-19, dan hanya menumpukan pada kadar vaksinasi.

Walaupun selepas vaksinasi, dua minggu diperlukan bagi kedua-dua dos itu berkesan.

Minggu lepas, Ismail Sabri berkata peningkatan kadar vaksinasi dapat menjadikan negeri yang berada dalam Fasa Satu PPN atau di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) beralih kepada Fasa 2 bulan depan.

Petunjuk untuk beralih ke fasa 2 apabila 10% penduduk telah lengkap divaksinasi, kes harian bawah 4,000, dan kadar katil di ICU stabil.

Pakar kesihatan berkata ketika ini jangkitan baharu kekal melebihi 10,000 sementara ICU masih penuh. Pada 22 Julai, 5.1 juta, atau 15.6% penduduk telah melengkapkan dua dos suntikan, manakala 10.9 juta, atau 33.4% penduduk telah menerima satu dos.

Moy berkata jika mahu segera membuka semula ekonomi, kerajaan perlu betindak lebih meluas berbanding hanya memberi tumpuan kepada vaksinasi.

“Sebagai contoh, syarikat perlu perbaiki dan meningkatkan sistem pengudaraan di tempat kerja kerana ini mempengaruhi penyebaran virus,” kata Moy.

Syarikat juga perlu pastikan mereka yang kembali ke tempat kerja mesti sekurang-kurangnya sudah divaksin satu dos dan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Jika tidak bergejala, anda boleh guna kit ujian rumah. Jika ada simptom, anda perlu buat ujian PCR. Mereka yang didapati positif perlu dikuarantin agar tidak menjangkiti orang lain,” katanya.

Lim Chee Han, pakar biologi jangkitan berkata kilang dan pejabat di kawasan berisiko tinggi yang dibenarkan dibuka semula perlu melakukan ujian antigen RTK setiap minggu terhadap pekerja.

“Situasi sekarang lebih buruk berbanding sebelum PKP 1 Jun. Walaupun ada yang berpendapat kita tidak sepatutnya menilai berdasarkan jumlah kes baharu - bahawa banyak kes positif disebabkan lebih banyak ujian - ia adalah gambaran sebenar jumlah jangkitan dalam komuniti.”

Lim mempersoalkan apa yang akan dilakukan kerajaan jika kes harian tetap tinggi pada fasa 2.

“Apakah kerajaan mempunyai langkah untuk mengawal daerah yang masih melaporkan banyak kes setelah memasuki tahap 2?

“Dengan membenarkan lebih banyak orang keluar, kita meningkatkan risiko penularan. Apa yang akan terjadi jika sistem penjagaan kesihatan runtuh?”

Terengganu dan Sabah, yang kini berada dalam fasa 2, melaporkan kadar jangkitan yang tinggi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak merancang menggunakan kadar jangkitan sebagai kriteria bagi melongarkan sekatan.

Negeri lain di fasa 2 adalah Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak.

Lim berkata Malaysia patut belajar daripada kesilapan Britain dan Amerika Syarikat serta tidak melonggarkan semua sekatan sekaligus. Singapura menjadi model yang lebih baik untuk dicontohi, katanya.

“Kelonggaran sekatan mesti bergantung pada bagaimana situasi sistem rawatan kesihatan.”

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata tiga indikator tersebut belum dipenuhi untuk pembukaan semula seluruh negara.

“Sudahkah kita memenuhi ketiga-tiga petunjuk tersebut? Jumlah kes jelas meningkat dan katil tidak mencukupi di hospital. Namun, vaksinasi berjalan dengan baik dan pada tahap ini, keadaan di Lembah Klang akan terkawal tidak lama lagi.”

Lee berkata pertengahan Ogos mungkin merupakan masa yang lebih tepat untuk memasuki fasa 2 kerana vaksin memerlukan purata 14 hari untuk memberi kesan perlindungan.

Kerajaan persekutuan dan Selangor merancang agar setiap orang dewasa di negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

Katanya, kerajaan juga perlu merancang jauh untuk menghadapi kemungkinan kenaikan kes, terutama varian Delta, apabila sekatan ditarik semula.

Semalam Malaysia semalam mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 15,573 kes harian Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 980,491.

Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing menyumbang 7,672 dan 2,063 kes.

Johor mempunyai jangkitan paling banyak selepas Selangor dan Kuala Lumpur. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen