MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mahu Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang ditahan kerana berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang, awal minggu ini, lapor Bernama.
Anggota polis seperti itu, yang melanggar peraturan yang sepatutnya mereka kuat kuasakan ke atas orang ramai, tidak patut ada dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), katanya.
“Saya sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai seperti ini.
“Kami sudah memberikan amanah kepada PDRM dan mereka melanggarnya, pada saya individu seperti ini tidak harus ada dalam pasukan,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Hamzah juga berkata peraturan (SOP) yang ditetapkan untuk mencegah penularan Covid-19 terpakai kepada semua, dan tidak ada yang terkecuali.
“SOP bukan hanya terpakai pada rakyat sahaja tetapi adalah untuk semua peringkat masyarakat sebab itu kita lihat ramai menteri juga dikenakan kompaun,” katanya.
Hamzah bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di sekitar Bukit Kiara dan Sungai Buloh.

Pada petang Selasa, empat polis termasuk ketua balai berpangkat sub-inspektor ditahan bersama empat wanita ketika dilaporkan sedang menari dan berkaraoke, serta minum minuman keras dalam sebuah bilik khas yang diubah suai seperti disko, di balai tempat mereka bertugas.
Serbuan dibuat oleh pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selepas menerima aduan pelanggaran SOP pencegahan Covid-19.
Dalam pemeriksaan lanjut di balai berkenaan, pasukan JIPS Bukit Aman turut menemui beberapa botol air ketum di bahagian lain di luar bilik berhibur itu.
Polis turut merampas botol-botol arak, lampu disko serta pelbagai peralatan karaoke termasuk mikrofon dan sebuah televisyen dari bilik itu.
Polis juga menjumpai gambar lucah dalam telefon genggam milik seorang daripada empat polis yang ditahan.
Kesemua anggota polis terlibat kini digantung kerja sementara siasatan sedang dijalankan, lapor Bernama. – 23 Julai, 2021.
Komen