Kazakhstan dakwa tiada bukti perisian intip Pegasus pantau negara


Seorang wanita melihat laman web perisian intip Pegasus buatan Israel. Laporan bahawa perisian intip Pegasus buatan Israel telah digunakan untuk memantau aktivis, wartawan dan ahli politik di seluruh dunia menimbulkan risiko diplomatik, ekonomi. – Gambar AFP, 23 Julai, 2021.

SEORANG pegawai tinggi Kazakhstan mendakwa tiada bukti perisian intip buatan Israel digunakan untuk memantau pegawai atasan termasuk presiden, ketika beberapa negara mulai menyiasat tuduhan tersebut.

Hungary, Israel dan Algeria pada Khamis bergabung dengan Perancis mengumumkan siasatan terhadap tuduhan bahawa wartawan, aktivis hak asasi dan 14 ketua negara diintip menggunakan perisian bernama Pegasus yang dikembangkan oleh Kumpulan NSO Israel.

Bagaimanapun timbalan ketua pentadbiran presiden Kazakhstan, Dauren Abayev berkata laporan media mengenai senarai sasaran yang dibocorkan kepada kumpulan hak asasi tidak lebih dari sekadar “maklumat menarik tanpa bukti” dalam komen pertama bekas negara Soviet mengenai skandal itu.

“Secara realistik, anda dapat masukkan sesiapa sahaja dalam senarai ini, dan dengan itu menyemai benih keraguan dalam negara ini, golongan elit, wartawan, dan sebagainya,” kata Abayev dalam wawancara dengan penyiar negara Khabar pada Khamis.

Perisian Pegasus Kumpulan NSO Israel, dapat menghidupkan kamera atau mikrofon telefon dan mengambil data, menjadi tumpuan selepas senarai melibatkan 20,000 potensi sasaran terbocor kepada kumpulan hak asasi.

Berita Amnesty International dan Perancis Forbidden Stories berkolaborasi dengan sekumpulan syarikat media, termasuk Washington Post, Guardian dan Le Monde, untuk menganalisis dan menerbitkan senarai tersebut.

Skandal itu semakin meluas dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu sehinggalah ke Maghribi, India dan sejumlah besar ekonomi lain yang baharu muncul.

Dalam kes Kazakhstan, sasaran perisian yang dilaporkan termasuk Kassym-Jomart Tokayev, presiden semasa, yang dipilih sendiri sebagai pengganti oleh pemimpin pengasas negara Asia Tengah, Nursultan Nazarbayev.

Individu lain dalam senarai itu termasuk Perdana Menteri sekarang Askar Mamin, datuk bandar Almaty, Bakytzhan Sagintayev dan aktivis veteran Bakytzhan Toregozhina.

Mamin dan Sagintayev menjadi tokoh penting dalam peralihan kuasa Kazakhstan yang bermula ketika Nazarbayev meletak jawatan sebagai ketua negara pada 2019. – AFP, 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen