Indeks harga pengguna Jun naik 3.4%


INDEKS Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.4% pada Jun 2021 kepada 123.2 berbanding 119.1 pada bulan yang sama 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata IHP kekal positif untuk bulan kelima berturut-turut sejak Februari 2021 didorong kesan asas yang rendah pada tahun lepas akibat penyusutan harga bahan api untuk kenderaan persendirian.

“Kumpulan pengangkutan (16.6%) merupakan penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan, diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.0%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.3%),” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan IHP bagi Jun 2021 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.1% berbanding Mei 2021, didorong makanan dan minuman bukan alkohol (0.3%) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.1%).

“Momentum yang perlahan ini adalah kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan penutupan operasi bagi sektor bukan perlu yang dilaksanakan sepanjang Jun 2021 sedikit sebanyak telah meredakan tekanan inflasi ini,” katanya.

Uzir berkata IHP bagi suku kedua 2021 meningkat 4.1% kepada 123.1 berbanding 118.2 pada suku yang sama 2020 manakala bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 0.5% berbanding suku pertama 2021.

Beliau berkata menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), harga makanan global kini semakin meningkat dengan kadar pantas dalam tempoh satu dekad dan diburukkan lagi dengan masalah negara-negara di dunia yang masih berusaha untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

“Di samping itu, kenaikan harga beberapa komoditi utama dunia ekoran kekurangan bekalan dan peningkatan kos perkapalan turut memberi kesan terutama peningkatan kepada kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata peningkatan dua digit indeks minyak masak sebatian bagi bulan kedua berturut-turut sejak Mei 2021 membuktikan Malaysia turut merasai tempias kenaikan harga global.

“Indeks teras meningkat 0.7% pada Jun 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2%) serta hiasan perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.0%),” katanya.

Beliau berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (1.3%); pengangkutan (1.0%); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6%); kesihatan (0.5%); pendidikan (0.5%); restoran dan hotel (0.5%) serta pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.3%) juga menyumbang kepada kenaikan itu.

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal, katanya.

Uzir berkata IHP tanpa bahan api meningkat 1.5% pada Jun 2021 kepada 113.9 berbanding 112.2 pada bulan yang sama 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, katanya.

Beliau berkata tujuh negeri iaitu Terengganu (4.4%), Kelantan (4.1%), Pahang (3.9%), Perak (3.6%), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.5%), Negeri Sembilan (3.5%) serta Kedah dan Perlis (3.5%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 3.4% pada Jun 2021 berbanding bulan yang sama pada 2020.

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu iaitu pada 2.0%, diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.9%), Kelantan (1.7%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.4%),” katanya.

Ketua Perangkawan berkata DOSM mengeluarkan Buletin Khas Inflasi Vol (1), bertajuk ‘Harga makanan dan barangan runcit global semakin mahal’, yang menyediakan senario ringkas berkenaan inflasi global.

“DOSM berharap buletin ini dapat membantu pengguna untuk memahami senario inflasi. Buletin ini boleh didapati di media sosial rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya. – Bernama, 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen