Bibit-bibit totalitarianisme: Tumpulnya wacana kebebasan semasa pandemik


PENGETAHUAN, ataupun lebih tepat lagi kejujuran dalam berpengetahuan, adalah hal langka tatkala kita berdepan dengan kemelut sosial. 

Sebaliknya, ketaktahuan (ignorant) pula memacu “panik sosial” serta “imitasi sosial” terhadap sebarang langkah populis. Inilah angin sosial yang sedang kita rasakan saat berdepan dengan pandemik Covid-19; sebuah suasana yang boleh menyudutkan cara kita berfikir mengenai kebebasan.

Kritis, buat masa ini, adalah musuh masyarakat terbanyak. Kritis, barangkali sudah menjadi mantra yang — dalam diam — dibenci oleh sebahagian besar golongan dalam masyarakat, termasuk golongan yang dikatakan sebagai bijak pandai sekalipun.

Mutakhir, kita dapat melihat betapa tumpulnya daya kritis kita ini tatkala ada hasrat dari kerajaan untuk melaksanakan sekatan pergerakan kepada mereka yang enggan atau tak lengkap vaksin (sebanyak dua dos), memperkenalkan pasport vaksin serta melanjutkan pendekatan kuncitara (lockdown).

Semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, seakan senada dengan pendekatan yang boleh menjadi kontroversi ini. 

Dari satu perspektif, tindakan seperti ini berupaya membuka pintu kepada sesuatu yang lebih merbahaya; ia adalah permulaan kepada proses diskriminasi dan pembatasan kebebasan kepada hak warga itu sendiri. Dalam kata lain, pendekatan tersebut adalah suatu projek yang bersifat anti-kebebasan.

Kebebasan adalah perkara paling asas dalam alam demokrasi, itupun kalau kita masih lagi berfikir bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik. 

Kebebasan menuntut kita untuk sentiasa membuka ruang wacana, ruang yang membenarkan deretan pertanyaan tajam. Lebih dari itu, deratan pertanyaan ini bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada kepada pandangan popular yang terdapat dalam masyarakat. 

Dengan memperkenalkan idea seperti pasport vaksin, juga membatas pergerakan bagi mereka yang tidak vaksin (sepenuhnya), serta meneruskan kuncitara, maka semua pendekatan ini akan mewujudkan keadaan diskriminasi terhadap golongan yang mempunyai sikap bertentangan. 

Pertanyaannya: adakah kalangan yang cenderung kepada semua pendekatan ini — yang konon pula bercakap atas nama kebebasan — sebenarnya masih layak untuk melaungkan kalimat demokrasi ini?

Kita pernah mendengar suatu suara yang menyatakan bahawa “era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.” 

Suara ini semakin benar apatah lagi saat pandemik ini. Memang, suara kerajaan bukannya firman. Tatkala kerajaan ingin memperkenalkan kuncitara, pasport vaksin, sekatan pergerakan, maka ruang bantahan perlulah terus dijamin. Ruang bantahan ini diperlukan bagi memastikan asas demokrasi terus dipertahankan.

Tentu sekali, akan ada yang membela langkah tidak demokratik kerajaan ini, termasuk kalangan pembangkang dengan berkata: “tindakan ini demi maslahat orang ramai.” Lebih dari itu, pembangkang dan kerajaan boleh bersengkongkol menyatakan bahawa tindakan ini adalah menepati saranan “follow the science.” 

Persoalannya yang ingin kita tanyakan: “which science do you follow?” 

Sains adalah sebuah pengetahuan yang sentiasa berkembang. Untuk memastikan sains terus berkembang, maka sains tidak boleh dianggap sebagai sebuah berhala yang mati. 

Sains (atau lebih tepatnya digunakan istilah pengetahuan) terhasil dan terserlah mutunya menerusi kancah perdebatan, dan ruang pendebatan ini akan menjadikan sesuatu pengetahuan lebih kaya dan persis.

Masalahnya—sama ada kerajaan mahupun pembangkang—mereka hanya mahu mengikut cara berfikir arus perdana; sebuah cara berfikir yang menghasilkan pengetahuan yang dilanggan oleh arus popular dan global. 
Ibaratnya apa yang disebut oleh Anthony S. Fauci dari Amerika Syarikat adalah sebuah sabda yang mesti dilaksanakan di Malaysia. 

Jika Fauci menyebut bahawa keadaan dewasa ini ialah “a pandemic of the unvaccinated,” maka balaci-balacinya akan mengulang frasa yang sama di Malaysia. Inilah bahana kita: mudah menerima apa sahaja yang bersifat populis dan global sebagai suatu ‘kebenaran mutlak’. 

Mereka yang mempertikaikan kebenaran populis dan global ini akan dianggap sebagai golongan yang anti kepada kemapanan (establishment), malah sekonyong-konyongnya menyatakan golongan ini wajar untuk “mampus sahaja.” 

Daerah hidup atau mati kini telah diwakili oleh garisan tebal antara kumpulan rasmi (vaksin sebagai kewajipan) dengan kumpulan tak rasmi (vaksin sebagai pilihan).

Kita belum lagi menyelak perbincangan mengenai keabsahan dan keberkesanan vaksinisasi sebagai jalan keluar daripada kemelut pandemik ini. Apa yang cuba dibincangkan di sini sekadar pembelaan ruang wacana, ruang terakhir yang menghidupkan asas demokrasi. 

Pokoknya, setiap langkah yang mendiskriminasi mereka yang enggan menerima vaksin adalah suatu yang sebenarnya boleh mengancam keutuhan demokrasi itu sendiri. 

Kalau disemak baik-baik, sebenarnya terdapat kelompok profesional dalam bidang perubatan yang telahpun mempertikaikan langkah global dan populis ini. Misalnya Sucharit Bhakdi, seorang ahli mikrobiologi dari Jerman, secara konsisten memperingatkan sisi gelap vaksinisasi secara membuta dan meluas ini. 

Tetapi, siapa Bhakdi berbanding Fauci? 

Setidaknya, sebagai asas untuk membuka usaha pencarian pengetahuan yang lebih kaya dan persis, Bhakdi adalah mereka yang bergelumang dalam penyelidikan mengenai pandemik serta telahpun menulis sebuah buku “Corona, False Alarm? Facts and Figures,” sebuah buku yang cuba menyedarkan kita warna propaganda di sebalik pandemik Covid-19 ini.

Tetapi kenapa kita mahu letak kepercayaan (trust) kepada Fauci berbanding Bhakdi sebagai “iman kesihatan” saat berdepan dengan pandemik ini? 

Sebab, ramai dari kalangan kita yang gelabah serta bendul meniru apa sahaja yang popular dan global. Walhal, sebuah pegetahuan bukanlah bergantung kepada kepada berapa ramai yang melanggan ‘kebenaran’ tetapi kepada kualiti pengetahuan yang dihasilkan.

Sehubungan dengan itu, dalam panik sosial dan imitasi sosial ini, maka kita tidak boleh menyerahkan satu-satunya nyawa yang kita miliki ini kepada para profesional tertentu (yang bersepakat dengan kerajaan) yang ingin memaksa kita memilih apa sahaja yang bersifat popular dan global. 

Bahkan, kita tidak boleh juga mengharap kepada kualiti ‘ketajaman’ puak pembangkang yang gemar mengulang ciap apa sahaja yang bersifat poyo dan skema tanpa memikirkan kesannya kepada idea kebebasan itu sendiri. 
Kalangan dengan bangganya melihat tindakan Jacinda Ardern sebagai suatu yang suci dan terbaik; meskipun dengan hanya satu kes Covid-19 sahaja maka seluruh kota dikuncitara! Ibaratkan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Sebaliknya, mereka yang percaya pada kebebasan perlu sedar bahawa sekiranya sebarang langkah diskriminasi atas nama melawan pandemik ini tidak diawasi dan dilawan secara tekal dan tegas, maka setiap inci ruang kebebasan yang masih lagi tersisa ini akan semakin digerogoti oleh arus popular dan global ini.

Biarpun kita tidak boleh mengharap kerajaan mahupun pembangkang, tetapi kumpulan kecil dalam masyarakat — yang masih sedar betapa kebebasan adalah suatu yang tidak boleh dicagar — mestilah sentiasa dipertahankan. 

Arus perlawanan kepada populisme global ini wajar dicanai agar proses perkembangan pengetahuan terus berjalan. Perkembangan ini tidak sekali-kali diwahana oleh kalangan pembangkang, termasuk dari pembangkang yang lagaknya paling ‘demokratik’, ‘muda’, ‘adil’, dan ‘amanah’ sekalipun. 

Sebaliknya ianya diwahana oleh kalangan yang insaf bahawa setiap perubahan dalam masyarakat bermula dengan daya kritis yang tidak boleh padam.

Daya kritis ini, sampai satu tahap, mestilah sedia mempersoalkan pendekatan kuncitara sebagai penyelesaian kepada cara untuk menangani pandemik. Kita tidak boleh lagi bungkam tatkala melihat bahawa tidak terbuktipun pendekatan ala Wuhan ini sebuah penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik ini. 

Kita usah biarkan hidup kita tanpa empati, sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat hanya dengan sebuah imaginasi yang belumpun bertempat. 

Dalam menangani pandemik ini, sejauh manapun ada yang membenci Donald Trump, akan tetapi kita boleh bersetuju dengannya bahawa “the cure cannot be worse than the problem itself.” Dalam kata lain, kita mestilah membaca bahan mengenai pandemik ini dengan lebih tenang, jujur dan kritis. 

Membaca data (itupun jika data tersebut dipaparkan secara tepat dan telus dikongsi umum) dengan cara menakut-nakutkan masyarakat hanya merumitkan lagi keadaan, malah boleh memancing emosi dan perasaan masyarakat. 

Ketenangan, kejujuran dan kekritisan adalah kalimat-kalimat penting yang seharusnya menjadi azimat kita semasa diserbu oleh arus yang bersifat popular dan global ini. Hanya dengan ketenangan, kejujuran dan kekritisan inilah, maka ruang kebebasan akan terus subur. 

Sebaliknya dengan mendiskriminasikan kumpulan yang berseberangan dengan arus popular dan global, lalu kita akan dengan mudah mengucilkan mereka dalam masyarakat (social exclusion). Langkah seperti ini hanya membuka ruang selesa kepada sebarang tindakan yang bersifat otoritarianisme selanjutnya.

Memang, ada kalangan yang mewajarkan penggunaan pendekatan keras seperti ini, kononnya, atas nama kesihatan awam. 

Lalu, kalangan ini akan kemukakan hujah-hujah mereka dengan bacaan data-data mereka bersama ‘nabi-nabi’ dalam bidang perubatan mereka. 

Kalau kalangan ini sedikit bijak, mereka patut tahu bahawa setiap hujah, data dan ‘nabi’ dalam bidang perubatan yang sama sekali berbeza boleh sahaja dibawakan oleh kumpulan yang berseberangan. 

Hakikatnya, perdebatan antara dua kumpulan ini adalah sesuatu yang sihat; yang mana ruang ini akan membuka jalan kepada sebuah penyelesaian konkrit. 

Dengan mematikan ruang kecil seperti ini, kita bukan sahaja boleh terus “sesat lagi menyesatkan” dalam percubaan menangani pandemik, tetapi kita akan terus menutup sisa-sisa terakhir untuk keluar dalam lembah penyesatan tersebut.

Justeru itu, ruang wacana yang wujud antara kumpulan popular-global dan kumpulan anti kemapanan ini seharusnya dipertahankan habis-habisan, kalau kita memang benar-benar tidak mahu sebarang unsur totalitarianisme berputik. 

Jika ruang ini tidak diselamatkan, maka kita akan senasib seperti pembangkang hari ini: skema, poyo dan tidak kritis! – 23 Julai, 2021. 

* Aqil Fithri merupakan anggota kepada Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen