Ecuador isytihar darurat, 22 mati rusuhan di penjara


Anggota tentera berkawal di luar penjara yang berlaku rusuhan di Ecuador. Seramai 22 maut dan 57 yang lain cedera dalam insiden itu. – Gambar EPA, 23 Julai, 2021.

ECUADOR mengisytiharkan darurat dalam sistem penjara susulan rusuhan di dua kompleks penjara yang menyebabkan 22 maut dan 57 yang lain cedera.

Presiden Guillermo Lasso mengeluarkan perintah menggerakan semua sumber manusia dan ekonomi yang diperlukan bagi membangunkan semua perintah sistem penjara Ecuador.

Lasso berkata tentera akan mula bertindak mengawal perimeter penjara dan bahagian masuk, sementara pasukan polis akan berkawal di dalam kawasan penjara.

Sehingga kini orang awam yang dilatih sebagai pengawal penjara bertugas menjaga keselamatan di bahagian dalam.

Pihak berkuasa penjara sebelum ini menggantungkan semua aktiviti yang boleh menyebabkan risiko kepada populasi banduan dan pegawai pentadbiran.

Kebenaran melawat dibatalkan di sesetengah penjara.

Lapan pegawai polis antara yang tercedera dalam rusuhan di penjara di Guayas, di barat Ecuador, dan Cotopaxi di tengah ibu kota. Jumlah awal melaporkan 21 kematian.

Seramai 14 banduan maut di Cotopaxi, termasuk seorang yang meninggal dunia di hospital, sementara lima pegawai polis cedera, kata menteri Alexandra Vela.

Di Guayas, lapan banduan maut dan tiga pegawai polis cedera.

Ketika kekecohan itu berlaku, seorang pegawai polis dirogol, kata Vela.

Dua banduan yang terlibat adalah individu yang sama mencetuskan rusuhan pada Februari. Dalam sehari, 79 banduan maut dalam pergaduhan antara geng yang berebut kuasa.

Dalam rusuhan berkenaan, banduan dipenggal dan dibakar dalam keganasan yang mendedahkan kuasa geng di penjara yang mengejutkan negara Amerika Selatan itu.

Sistem penjara Ecuador mempunyai 60 penjara yang dibina bersesuaian untuk 29,000 banduan tetapi pada masa ini ia mengalami masalah lambakan banduan dan kakitangan yang kurang.

Kira-kira 38,000 tahanan dikawal oleh 1,500 pengawal, kurang kira-kira 2,500 tenaga pengawal, menurut pakar.

Kumpulan hak asasi manusia Ecuador berkata berlaku 103 di penjara Ecuador pada 2020. – AFP, 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen