AS tahan bantuan AS$65 juta kepada PBB untuk Palestin


Amerika Syarikat menafikan keputusannya menahan bantuan kepada Palestin bertujuan memberi tekanan kepada pemimpin negara itu Palestin, sebaliknya ingin negara lain turut sama membantu menyumbang kepada UNRWA. - Gambar fail AFP, 17 Januari, 2018.

AMERIKA Syarikat (AS) menahan bantuan AS$65 juta diperuntukkan kepada agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi rakyat Palestin pada Selasa, dua minggu selepas Presiden Donald Trump mengancam membekukan bayaran.

Pegawai Jabatan Negara AS menegaskan keputusan itu tidak diambil untuk menekan pemimpin Palestin, tetapi kerana AS mahu negara lain turut sama membantu menyumbang kepada UNRWA.

Jabatan Negara menyatakan AS$60 juta daripada pakej AS$125 juta akan diteruskan untuk memastikan agensi itu berjalan, tetapi baki yang lain ditahan.

“Ini bukan bertujuan menghukum sesiapa,” kata jurucakap Heather Nauert kepada wartawan.

Menurutnya, kerajaan AS dan dan pentadbiran Trump percaya beban itu perlu dikongsi bersama pihak yang lain.

“Kami mahu negara-negara lain, malah negara lain yang mengkritik AS yang percaya kami menentang Palestin…ke depan.”

Ketua Badan Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Pelarian Palestina (UNRWA), Pierre Krahenbuhl, menggesa anggota PBB lain untuk menyumbang.

Beliau berkata AS$60 juta akan memastikan sekolah dan hospital dibuka untuk masa kini, tetapi menyatakan ia secara mendadak lebih rendah daripada AS$350 juta yang dibayar Washington sepanjang 2017.

“Pembiayaan UNRWA atau mana-mana agensi kemanusiaan adalah di bawah budi bicara setiap negara anggota berdaulat PBB,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pada masa sama, memandangkan hubungan panjang, dipercayai, dan bersejarah antara AS dan UNRWA, pengurangan sumbangan ini mengancam salah satu usaha pembangunan manusia yang paling berjaya dan inovatif di Timur Tengah.”

Pendirian Jabatan Negara AS menimbulkan skeptisisme berdasarkan tweet yang dikirim oleh Trump pada 2 Januari, ketika sumbangan AS$125 juta dibayar.

“Kami membayar rakyat Palestin jutaan dolar setahun dan tidak mendapat penghargaan atau penghormatan,” tulis Trump.

“Lagipun, Palestin tidak berminat untuk meneruskan rundingan damai, kenapa kami perlu meneruskan bantuan yang banyak pada masa depan untuk mereka,” tulis Trump di Twitter. – AFP, 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen