JURUCAKAP Taliban semalam mendakwa mereka menguasai 90% sempadan Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari negara yang dilanda perang itu.
“Sempadan Afghanistan dengan Tajikistan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Iran atau sekitar 90% sempadan berada di bawah kendalian kami,” kata Zabihullah Mujahid kepada agensi berita RIA Novosti.
Militan menyerang seluruh Afghanistan, merampas wilayah, merampas sempadan dan mengepung di kawasan bandar serta menguasai separuh daripada kira-kira 400 daerah di negara itu.
Mujahid memberitahu RIA Novosti bahawa Talian tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan ISIS di Afghanistan.
“Kami memberi jaminan tidak akan membiarkan ISIS aktif di negara ini, di kawasan-kawasan di bawah kawalan kami.
“Tidak ada militan dari Asia Tengah atau China di daerah ini,” tambahnya.
Mujahid juga berkata, Taliban juga tidak akan bertolak ansur dengan tentera asing di negara itu termasuk dari Turki yang mengadakan perbincangan dengan Washington mengenai pengambilalihan lapangan terbang Kabul.
“Kami sudah menolak kedudukan Turki dan mengatakan bahawa selepas pengunduran AS dari Afghanistan, kami tidak akan membiarkan tentera asing lain berada di negara ini,” kata Mujahid.
Bekas Soviet Tajikistan, di sempadan Afghanistan mengadakan pemeriksaan ketenteraan berskala besar semalam – yang pertama diadakan dalam sejarah 30 tahun negara itu.
Serangan Taliban dalam beberapa minggu terakhir memaksa pelarian Afghanistan dan tentera pemerintah melintasi sempadan Tajik.
Rusia yang mempertahankan pangkalan tentera di Asia Tengah berkata akan melakukan latihan ketenteraan dengan Tajikistan dan Uzbekistan berhampiran sempadan Afghanistan bulan depan. – AFP, 23 Julai, 2021.
Komen