RM1 juta dikeluarkan untuk kawasan Parlimen Bersatu, kata Syed Saddiq


Chan Kok Leong

Jawatankuasa Armada Bersatu yang putuskan untuk keluarkan dana bagi kawasan Parlimen parti itu, kata pengasas Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2021.

RM1 juta yang dikeluarkan dari akaun Bersatu digunakan untuk sumbangan kepada para penduduk di kawasan Parlimen Bersatu, kata Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Disebabkan pandemik Covid-19, Armada memutuskan untuk keluarkan dana itu supaya boleh digunakan bagi memberi barangan keperluan asas di kawasan Parlimen Bersatu.

“Semua perbelanjaan telah direkodkan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu melalui video langsung di Facebook malam ini.

Beliau menafikan dakwaan beliau mengeluarkan wang tersebut secara sepihak malah ia dibuat selepas mendapat persetujuan jawatankuasa Pemuda Bersatu.

“Malah, saya tidak tandatangan cek itu. Bendahari dan setiausaha yang tandatangan,” kata Syed Saddiq yang dipecat dari Bersatu kerana tidak menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah Langkah Sheraton tahun lalu.

“Saya tidak guna wang itu untuk kegunaan peribadi. Perincian perbelanjaan RM1 juta itu ada.”

Syed Saddiq, yang merupakan salah seorang pengasas Bersatu, berkata tuduhan terhadapnya itu tidak adil.

“Sepanjang masa saya dalam Bersatu, presiden (Muhyiddin) tidak pernah bangkitkan isu kewangan Bersatu dalam mesyuarat majlis tertinggi.

“Walaupun, berjuta-juta dikumpulkan untuk pilihan raya seperti di Tanjung Piai, tetapi perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat parti. Jadi, di mana keadilannya?

“Dalam hal ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada bekas pengerusi Bersatu kerana bersetuju menjadi saksi bagi pihak saya,” kata ahli politik berusia 29 tahun itu, merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Pagi ini, ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan dua pertuduhan menyalahgunakan dana bekas partinya, berjumlah RM1.12 juta.

Dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa mengeluarkan wang tunai RM1 juta melalui cek bank CIMB pada 6 Mac tahun lalu tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa menyalahguna sumbangan kempen pilihan raya Bersatu berjumlah RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad.

Syed Saddiq didakwa bertindak demikian antara 8 April hingga 21 April 2018 melibatkan dana dalam akaun yang didakwa milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Pertuduhan dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 406 itu membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Bagaimanapun, presiden Muda itu mengaku tidak bersalah ke atas dua tuduhan itu. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen