Turki hukum penjara 5 wartawan kerana 'propaganda pengganas'


Sehingga kini, terdapat 151 wartawan di penjara Turki, yang kebanyakannya ditahan di bawah perintah darurat yang dikenakan selepas percubaan rampasan kuasa pada 2016. – Gambar fail AFP, 17 Januari, 2018.

LIMA wartawan dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah di Istanbul pada Selasa selepas dibicarakan dengan tuduhan mengambil bahagian dalam “propaganda pengganas”, lapor media Turki.

Empat daripada mereka menerima hukuman penjara 18 bulan kerana menyertai kempen solidariti dengan akhbar pro Kurd yang kini tidak lagi beroperasi Ozgur Gundem, menurut agensi berita swasta Dogan.

Ketua editor akhbar itu, Huseyin Akyol, dikenakan hukuman tiga tahun sembilan bulan, kata Dogan, sambil menambah mahkamah mendapati “kurangnya penyesalan” semasa perbicaraan berlangsung.

Lima petugas media, yang tidak berada di mahkamah pada Selasa, dituduh terlibat dalam “propaganda pengganas” bagi Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang diharamkan.

Menurut laman sesawang kebebasan akhbar P24, terdapat 151 wartawan di penjara Turki, yang kebanyakannya ditahan di bawah perintah darurat yang dikenakan selepas percubaan rampasan kuasa pada 2016.

Lima wartawan yang dihukum pada Selasa itu dalam penggantungan sementara menantikan pengesahan keputusan rayuan, kata pemerhati media, Reporters Without Borders. – AFP, 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen