KEMENTERIAN Kesihatan India menyiasat kematian pertama manusia yang direkodkan akibat selesema burung, selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menghidapi penyakit itu awal bulan ini.
Kanak-kanak dari Gurgaon, luar kawasan New Delhi itu turut menderita leukemia dan radang paru-paru.
Dia dimasukkan ke hospital di ibu negara pada 2 Julai dan meninggal dunia 10 hari kemudian selepas mengalami kegagalan organ.
Kementerian berkata genom dan pengasingan virus sedang dalam proses dan penyelidikan epidemiologi sudah dimulakan.
Selsema burung berlaku terutama pada burung dan unggas, dengan kes penularan antara manusia sangat jarang berlaku.
H5N1 pertama kali muncul pada 1997 kemudian merebak antara 2003 dan 2011, sementara H7N9 pertama kali dikesan pada 2013.
Dua jenis selesema burung, H5N1 dan H7N9, pertama kali dikesan pada 2013 menyebabkan pencemaran kepada manusia di Asia melalui burung yang dijangkiti.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata H7N9 menjangkiti 1,668 orang dan menyebabkan 616 kematian sejak 2013.
Dalam kes di India, Kementerian Kesihatan berkata virus itu termasuk sub jenis H5Nx, yang dianggap membimbangkan kerana boleh berkembang menjadi strain yang sangat berbahaya.
Doktor dan jururawat yang merawat pesakit itu sudah dipantau sejak 16 Julai lalu dan setakat ini tidak ada yang melaporkan sebarang gejala.
Penjejakan kontak juga dilakukan tetapi ahli keluarga, kenalan rapat dan pekerja kesihatan juga tidak menunjukkan sebarang gejala.
Bulan lalu, China mendedahkan kes pertama selesema burung dan pada Februari, Rusia mengesan penyakit itu dalam kalangan pekerja di kilang ayam. – AFP, 22 Julai, 2021.
Komen