Puluhan aktivis Thailand didakwa derhaka terhadap raja


Hari ini 12 aktivis didakwa dengan 112 tuduhan derhaka dan 116 hasutan kerana mengepalai tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran di Bangkok tahun lalu. – Gambar AFP, 22 Julai, 2021.

PULUHAN aktivis mahasiswa pro-demokrasi Thailand didakwa derhaka terhadap raja dan memfitnah kerajaan dalam satu demonstrasi tahun lalu yang menuntut reformasi monarki di negara itu, kata peguam mereka hari ini.

Gerakan pro-demokrasi, yang sebahagian besar dipimpin aktivis mahasiswa, dimulakan tahun lalu kerana rakyat tidak puas hati dengan pemerintahan Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha.

Salah satu tuntutan utama dalam protes itu adalah reformasi diraja, satu isu sensitif yang menjadi perbincangan rakyat susulan demonstrasi besar dipimpin para pelajar mencecah puluhan ribu.

Pada satu tunjuk perasaan pada Oktober tahun lalu, ribuan rakyat turun berarak ke kedutaan Jerman mengutuk raja Thailand yang menghabiskan banyak masa di Jerman.

“Semua 12 aktivis telah didakwa dengan 112 (tuduhan derhaka) dan 116 (hasutan), di mana aktivis paling muda berusia 20 tahun,” kata kumpulan Peguam Hak Asasi Manusia Thailand, yang mewakili para mahasiswa.

“Sebab utama tuduhan tersebut kerana demonstrasi dan pidato yang disampaikan di hadapan kedutaan Jerman.”

Peguam memohon jaminan buat para mahasiswa.

Membatalkan undang-undang derhaka di Thailand, yang membawa hukuman maksimum 15 tahun setiap tuduhan, merupakan salah satu tuntutan utama dalam gerakan pro-demokrasi.

Pengkritik telah lama berkata undang-undang tersebut digunakan secara meluas menyasarkan pihak politik lawan.

Sejumlah penunjuk perasaan telah terkesan teruk oleh undang-undang derhaka, dengan tokoh-tokoh paling terkenal didakwa dalam palbagai demonstrasi.

Tuntutan utama gerakan lain termasuk menggesa Prayut letak jawatan dan menulis semula Perlembagaan yang dikarang tentera Thailand.

Prayut merupakan bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014. 

Bagaimanapun dalam beberapa bulan terakhir ini, ketika rakyat Thailand berhadapan lonjakan Covid-19, para penunjuk perasaan telah beralih menuduh Prayut gagal mengekang pandemik.

Minggu ini, tanda pagar “Prayut Get Out” mula menjadi trend ketika Thailand memperbanyakkan sekatan pergerakan di beberapa lagi wilayah.

Pada masa ini terdapat lebih daripada 453,000 kes Covid-19 dan 3,697 kematian, sebahagian besar jumlah korban dikesan sejak April setelah pandemik mula menyerang di kelab malam yang sering dikunjungi elit politik Bangkok. – AFP, 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen