KETUA balai polis yang ditangkap berhibur bersama tiga anak buahnya dan empat wanita, dalam bilik diubah suai seperti disko dalam balai polisnya semalam, digantung kerja mulai hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau yang berpangkat sub-inspektor juga disahkan positif dadah jenis ganja selepas menjalani ujian air kencing, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad.
“Pegawai itu turut direman selama dua hari bagi membantu siasatan manakala tujuh yang lain dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya, seperti dipetik portal berita akhbar itu.
Azri berkata pihaknya menjalankan siasatan untuk tindakan tatatertib, sementara siasatan jenayah penggunaan dadah dan pelanggaran prosedur operasi standard pencegahan penyakit dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kajang.
Semalam, Azri mengesahkan pihaknya menahan empat polis dari sebuah balai di Kajang bersama empat wanita ketika sedang menari dan berkaraoke, serta minum minuman keras dalam sebuah bilik khas di balai itu.
Polis turut merampas botol-botol arak, lampu disko serta pelbagai peralatan karaoke termasuk mikrofon dan sebuah televisyen dari bilik itu, selain menjumpai gambar lucah dalam telefon genggam milik seorang daripada empat polis yang ditahan.
Dalam pemeriksaan lanjut di balai berkenaan, pasukan JIPS Bukit Aman turut menemui beberapa botol air ketum di bahagian lain di luar bilik berhibur itu.
Serbuan pada petang Selasa dibuat atas maklumat ada pelanggaran SOP pencegahan Covid-19 iaitu dengan berhibur di balai polis.
“Orang berhibur di pusat hiburan pun tidak dibenarkan, apatah lagi polis di dalam balai,” katanya kepada media.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.
Kes juga disiasat kerana kesalahan memiliki air ketum yang melanggar Akta Racun 1952. – 22 Julai, 2021.
Komen