CHINA berkata cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengaudit makmal dalam siasatan asal usul Covid-19 menunjukkan tindakan tidak hormat dan angkuh terhadap sains.
WHO pada Jumaat lalu berkata tahap kedua siasatan antarabangsa harus merangkumi pengauditan makmal China, di tengah peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan siasatan ke atas Institut Virologi Wuhan dan menjelang lawatan Timbalan Setiausaha AS Wendy Sherman ke China hujung minggu ini.
Cadangan digariskan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus itu termasuk audit ke atas makmal dan institusi penyelidikan relevan yang beroperasi di kawasan kes pertama dikesan terhadap manusia yang merujuk kepada Wuhan di China.
Wakil Menteri Kesihatan China Zeng Yixin pada sidang media hari ini berkata beliau sangat terkejut dengan cadangan itu yang disifatkan tidak hormat dan angkuh terhadap sains.
Beijing menolak keras idea virus mungkin berpunca daripada kebocoran makmal.
Beijing berulang kali menegaskan kebocoran itu sangat tidak mungkin berlaku berdasarkan kesimpulan dicapai misi bersama WHO-China ke Wuhan pada Januari.
Pengarah Makmal Biokeselamatan Nasional di Institut Virologi Wuhan Yuan Zhiming berkata tidak ada kebocoran patogen atau kemalangan jangkitan terhadap kakitangan yang berlaku sejak makmal dibuka pada 2018. – AFP, 22 Julai, 2021.
Komen