Pertumbuhan KDNK kekal 4% pada 2021, kata badan pemikir


Ragananthini Vethasalam

Pertumbuhan ekonomi akan lebih positif pada suku keempat hasil dari “permintaan terpendam” dari suku kedua yang boleh meluas sehingga separuh pertama tahun depan, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2021.

PUSAT Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tahun ini pada 4% selepas mengambil kira kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini.

Pengarah Eksekutif Lee Heng Guie berkata, beliau mempertahankan unjuran yang dibuat selepas Belanjawan 2021, tetapi menambah bahawa ia juga akan berdepan faktor risiko penurunan.

Lee berkata PKP 3.0 yang dikuatkuasakan pada Jun akan memberi kesan pada prestasi suku kedua.

Beliau menjangkakan pertumbuhan dua digit untuk suku ini walaupun lebih lemah dari yang dijangkakan.

“Untuk memulihkan Malaysia, saya terus mengharapkan pertumbuhan positif untuk tahun ini. Setahun (pertumbuhan KDNK) 4% tetapi ini masih berdepan risiko penurunan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat ekonomi dalam talian suku tahunan badan pemikir berkenaan.

Beliau berkata, jumlah kes Covid-19 yang tinggi tetapi menjadi cabaran kerana ia memerlukan langkah pencegahan yang lebih ketat walaupun kadar vaksinasi meningkat.

Katanya, semakin lama langkah pencegahan lebih ketat dilaksanakan, semakin besar dan parah kesan yang akan ditinggalkan terhadap sektor ekonomi domestik terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang paling teruk terjejas.

Lee berkata pertumbuhan aktiviti ekonomi yang tidak sekata mungkin akan berlanjutan.

Industri berorientasikan eksport akan terus berkembang dengan baik sementara sektor domestik seperti runcit, penerbangan dan beberapa subsektor pengangkutan memerlukan masa lebih lama untuk pulih.

Pertumbuhan akan lebih positif pada suku keempat hasil dari “permintaan terpendam” dari suku kedua yang boleh meluas sehingga separuh pertama tahun depan, katanya. – 22 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen