Banduan di Sweden tahan pengawal, tuntut piza


Polis berkawal di luar penjara Hallby susulan dua banduan menjadikan dua pengawal penjara sebagai tebusan selama sembilan jam dalam satu insiden semalam. – Gambar EPA, 22 Julai, 2021.

DUA banduan menjadikan dua pengawal penjara sebagai tebusan selama sembilan jam dalam satu insiden semalam, dengan menuntut diberikan piza, kata jurucakap penjara di Sweden.

Penjara Hallby ialah penjara yang dikawal ketat terletak berhampiran bandar Eskilstuna.

Stina Lyles berkata kedua-dua tebusan kemudian dilepaskan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan selepas tuntutan banduan diberikan piza ditunaikan.

Pegawai penjara Torkell Omnell berkata banduan terbabit yang sedang menjalani hukuman kerana membunuh, menceroboh ke kawasan dikhaskan untuk pengawal pada jam 12.30 tengah malam.

Katanya, mereka menahan dua pengawal yang berada di situ.

“Kami dengan cepat membawa perunding dan menghubungi polis,” katanya.

Menurut laporan media Sweden, penculik mengemukakan dua tuntutan iaitu helikopter untuk melarikan diri dan 20 piza untuk tahanan lain.

Menurut polis, kedua-dua tahanan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. – AFP, 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen