SEKURANG-KURANGNYA 800 penduduk di Uganda diberi vaksin koronavirus palsu – ada yang disuntik dengan air – dalam penipuan yang melibatkan doktor dan petugas kesihatan “tidak bertanggungjawab”, kata pegawai kerajaan semalam.
Suntikan palsu diberikan pada Mei dan Jun semasa lonjakan koronavirus melanda negara Afrika Timur apabila jangkitan baharu melonjak sehingga 1,7000 kes sehari.
Mereka yang melakukan penipuan menyasarkan golongan yang mahu membayar imunisasi termasuk pekerja korporat, kata Dr Warren Naamara, Ketua Unit Pemantau Perkhidmatan Kesihatan Awam di pejabat presiden.
“Beberapa individu yang tidak bertanggugjawab dengan niat untuk menjana wang, menipu orang awam
“Kami sudah menahan dua pekerja perubatan dalam penipuan itu dan seorang doktor perubatan disyaki melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang mendapatkan vaksin palsu – kira-kira 800 orang – tidak perlu khuatir kerana ujian menunjukkan botol tersebut tidak mengandungi kandungan berbahaya.
“Sebilangannya adalah air di dalamnya,” tambahnya.
Kementerian kesihatan semalam berkata, kerajaan menyediakan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma dan mendapat kelulusan ditetapkan.
Pada 18 Jun, ketika kes dan kematian koronavirus di Uganda melonjak tinggi, Presiden Yoweri Museveni mengumumkan sekatan perjalanan untuk semua pengangkutan awam dan swasta selama 42 hari.
Presiden veteran itu memberi amaran bahawa hospital sudah penuh dan tidak dapat menangani wabak itu.
Sejak itu jumlah jangkitan menurun dengan 252 kes dilaporkan semalam.
Uganda secara keseluruhan mencatatkan 91,162 jangkitan di mana 2,425 kematian sejak wabak itu bermula, menurut laporan terbaru kementerian kesihatan semalam. – AFP, 21 Julai, 2021
Komen