India catat lebih 45,000 kes jangkitan ‘kulat hitam’


Doktor memeriksa pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit 'kulat hitam' di Ghaziabad, Uttar Pradesh, India. – Gambar EPA, 22 Julai, 2021.

INDIA mencatatkan lebih 45,000 kes “kulat hitam” yang boleh membawa maut sejak dua bulan lalu, kata kementerian kesihatan, ketika melanda seluruh negara melalui pesakit Covid-19.

Menteri kesihatan muda negara itu Bharati Pravin Pawar memberitahu Parlimen semalam lebih 4,200 orang meninggal dunia akibat kulat - nama saintifik mucormycosis.

Jangkitan itu sebelumnya dianggap sangat jarang tetapi kes meningkat semasa pandemik, biasanya menyerang pesakit selepas pulih daripada Covid-19.

Ia penyakit yang sangat agresif dan pakar bedah terpaksa membuang mata, hidung dan rahang pesakit untuk menghentikan ia merebak ke otak.
Angka kematian kini melebihi 50%.

Menurut data kerajaan, jumlah kes tertinggi dilaporkan di barat negeri Maharashtra sebanyak 9,348.

India berdepan purata hanya 20 kes setahun sebelum wabak itu, dengan hanya individu mempunyai imuniti rendah berisiko tinggi, termasuk mereka yang mempunyai kadar gula tinggi dalam darah, HIV atau penerima transplantasi organ.

Pakar mengaitkan peningkatan baru-baru ini dengan penggunaan steroid berlebihan untuk merawat Covid-19.

Kerajaan India mengisytiharkan ia sebagai wabak pada Mei ketika kes muncul dan media sosial dibanjiri rayuan ubat-ubatan untuk merawat penyakit itu.

Data kerajaan yang dibentangkan semalam menunjukkan jumlah jangkitan meningkat pada Mei dan Jun dan sejak itu menurun secara substansial.

Tetapi akhbar Hindustan Times melaporkan pada Isnin terdapat peningkatan kes di kalangan kanak-kanak di utara negeri Rajasthan. – AFP, 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen