Ramai masih rentas negeri kerana tidak faham risiko Covid-19, kata pakar 


Bernard Saw

Terdapat peningkatan jumlah kenderaan di beberapa lebuh raya menjelang musim perayaan walaupun perjalanan rentas negeri masih dilarang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2021.

RAMAI yang masih melakukan perjalanan rentas negeri dan melakukan kunjungan rumah ke rumah walaupun ia dilarang bagi mengekang penularan Covid-19 kerana Putrajaya gagal membantu masyarakat untuk memahami bahawa aktiviti ini boleh menyebabkan jangkitan, kata pakar kesihatan. 

Sebaliknya, kerajaan lebih memilih pendekatan menghukum dengan mengeluarkan denda. 

Satu isu yang memerlukan penjelasan dan kesedaran lebih baik ialah masyarakat masih tidak selamat daripada jangkitan walaupun mereka sudah disahkan negatif melalui ujian saringan Covid-19, kata pakar. 

Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kebanyakan mereka masih lagi tidak menyedari mengenai risiko Covid-19. 

“Dalam proses pengurusan dan kawalan, kerajaan terlalu menekankan denda tetapi kurang pendidikan yang diberi,” kata ahli Parlimen PKR itu kepada The Malaysian Insight

“Kita telah umumkan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan namun tidak menyatakan mengenai bahayanya. 

“Pendekatan komunikasi sedia ada sekarang adalah salah. Sekiranya masyarakat tidak faham, mereka tidak akan mengikut arahan. Dan mereka akan terus melanggar sekatan pergerakan rentas negeri,” kata Dr Lee. 

Perjalanan rentas negeri, kunjung meengunjung dan perhimpunan sosial seperti pengebumian dan perkahwinan disenaraikan sebagai kluster Covid-19 sejak beberapa bulan lalu. 

Ia berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei dan Gawai pada bulan seterusnya.  

Beberapa hari lalu menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai, terdapat peningkatan jumlah kenderaan di sekatan jalan raya plaza tol Gombak. 

Kesesakan berlaku di kedua-dua arah ke pantai timur dan ke Kuala Lumpur, dipercayai orang ramai yang cuba pulang ke kampung untuk sambutan hari raya. 

Di Utara, juga dilaporkan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan dari Perlis, Kedah dan Perak. 

Dr Lee berkata situasi itu tidak adil bagi mereka yang benar-benar mempunyai urusan untuk melakukan perjalanan. 

“Kita tidak tahu sama ada penguatkuasa boleh menentukan antara mereka yang benar ada urusan dan mereka yang mengambil peluang (menyalahgunakan surat kebenaran) untuk merentas negeri.”– 22 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen