TERENGGANU yang sudah beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Nasional (PPN) mempunyai kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Negeri pantai timur itu mempunyai Rt 1.31 sementara kadar kebolehjangkitan Malaysia berada pada 1.12 pada 20 Julai.
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 20 hb Julai 2021 untuk seluruh negara adalah 1.12. Manakala pecahan mengikut negeri adalah seperti di lampiran. pic.twitter.com/97P2sSGOJh
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) July 20, 2021
Pakar kesihatan sebelum ini memberi amaran yang peralihan dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terlalu cepat.
Mereka berkata sekurang-kurangnya 40% hingga 50% penduduk perlu diberi vaksin sebelum sekatan boleh dilonggarkan.Setakat 20 Julai, hanya 15,071,814 juta orang sudah divaksin dan daripada jumlah tersebut, 10.30 juta atau 31.9% daripada jumlah penduduk menerima dos pertama mereka sementara selebihnya 4.76 juta atau 14.6% divaksinasi sepenuhnya.
Di Terengganu, 273,390 atau 21,7% penduduk menerima satu dos vaksin sementara 144,364 atau 11,5% sudah menerima kedua-dua suntikan.
Noor Hisham hari ini berkata selain Terengganu, Perlis, Perak dan Kelantan juga kini berada di bawah fasa kedua PPN. Perak mencatatkan kadar kebolehjangkitan 1.13, Kelantan (1.10) sementara Perlis hanya mencatatkan dua kes.
Noor Hisham berkata negeri lain yang mencatatkan Rt di atas 1.00 adalah Sabah (1.25), Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.22), Johor (1.20), Putrajaya (1.19), Selangor (1.12), Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing 1.14), Perak (1.13), Melaka (1.12), Kelantan (1.10) dan Kuala Lumpur (1.09).
Hanya dua negeri mencatatkan Rt di bawah 1.0 - Sarawak (0.95) dan Labuan (0.75).
Di bawah PPN, setiap negeri boleh beralih ke tahap kedua apabila 10% populasi negeri divaksinasi sepenuhnya, terdapat kurang 4,000 kes harian dan sistem penjagaan kesihatan tidak lagi berada dalam keadaan kritikal.
Malaysia semalam mencatatkan 12,366 jangkitan baharu Covid-19. Pada masa ini terdapat 133,703 kes aktif di negara ini. – 21 Julai, 2021
Komen