SERAMAI 12 orang maut selepas hujan lebat membanjiri laluan kereta api bawah tanah di bandar Zhengzhou di China tengah, kata pihak berkuasa pada Rabu, ketika gambar penumpang bergelut menyelamatkan diri dalam air paras leher di dalam kereta api tersebar di di media sosial.
Bandar mempunyai lebih 10 juta penduduk di wilayah Henan mengalami beberapa kejadian hujan ribut luar biasa mengakibatkan air bertakung di metro Zhengzhou, kata pihak berkuasa dalam hantaran di Weibo, sambil menambah 12 orang maut dan 5 cedera.
Pihak berkuasa mengeluarkan tahap amaran tertinggi bagi wilayah Henan apabila paras air mencecah rekod wilayah tersebut.
Banjir bermusim adalah perkara biasa di China, tetapi para saintis berkata perubahan iklim menyebabkan corak cuaca yang semakin melampau.
Gambar terssebar di media sosial China menunjukkan usaha menyelamat pejalan kaki di Zhengzhou daripada air banjir yang melimpah di jalanan.
Tentera China memberi amaran sebuah empangan di tengah negara itu berkemungkinan pecah bila-bila masa selepas mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan menyebabkan wilayah itu lumpuh.
Pada petang Selasa, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) memberi amaran hujan lebat menyebabkan kerosakan 20 meter di empangan Yihetan di Luoyang dengan risiko mungkin runtuh bila-bila masa.
Komando Pusat PLA berkata pihaknya menghantar askar sebagai tindak balas kecemasan.
“Pada 20 Julai, kerosakan sepanjang 20 meter berlaku di empangan Yihetan .... tebing sungai mengalami kerosakan teruk dan empangan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan itu.
Banjir tahunan semasa musim hujan di China menyebabkan huru-hara dan memusnahkan jalan, tanaman dan kediaman. – AFP, 21 Julai, 2021
Komen