PERDANA Menteri Tunisia Hichem Mechichi memecat menteri kesihatanya semalam selepas kes koronavirus semakin meningkat menyebabkan sistem kesihatan negara Afrika Utara itu terbeban.
Pemecatan Faouzi Mehdi berlaku beberapa hari selepas jurucakap kementerian kesihatan berkata, keadaan semakin tidak terkawal dengan lebih 17,000 kematian dicatatkan pada populasi kira-kira 12 juta.
Pejabat Mechichi mengumumkan pemecatan Mehdi dalam kenyataan ringkas tanpa memberikan alasan langkah berkenaan.
Pemecatan Mehdi adalah satu lagi contoh ketidakstabilan dalam kerajaan yang menyaksikan beberapa menteri meletak jawatan selepas berlaku ketegangan dengan Parlimen dan presiden.
Rakyat Tunisia sudah melalui satu dekad kekacauan politik dan krisis ekonomi sejak revolusi 2011 mereka yang menggulingkan diktator Zine El Abidine Ben Ali.
Hospital di Tunisia berdepan kekurangan oksigen seiring dengan kekurangan kakitangan dan katil di ICU mendorong negara-negara lain membantu menghantar bantuan perubatan. – AFP, 21 Julai, 2021.
Komen