PRESIDEN Interim Mali, Assimi Goita berada dalam keadaan ‘selamat dan sihat’, demikian menurut pejabatnya selepas seorang wartawan AFP mendakwa beliau diserang oleh dua lelaki bersenjata hari ini.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di masjid besar di ibu kota Bamako.
Serangan dilakukan semasa umat Islam sedang menunaikan solat sunat Aidil Adha.
Menurut wartawan itu. Goita terlibat dalam kejadian itu, namun belum dapat disahkan sama ada beliau terluka.
Seorang pegawai kepada presiden kemudian mengatakan Goita “selamat dan sihat.”
Goita tiba di kem tentera Kati, di luar ibu kota, “di mana tahap keselamatan diperketatkan”, kata pegawai itu.
Menteri Hal Ehwal Agama Mamadou Kone memberitahu AFP bahawa seorang lelaki “cuba membunuh presiden dengan pisau” tetapi berjaya ditangkap.
Pengarah masjid Latus Toure pula berkata seorang lagi menyerang presiden tetapi mencederakan orang ramai.
Serangan mengejutkan itu disusuli pergolakan politik selama berbulan-bulan di Mali yang juga memerangi pemberontakan jihad yang telah meragut ribuan nyawa dan mengusir ratusan ribu dari rumah mereka.
Goita dilantik berkuatkuasa pada Jun lepas, selepas memimpin rampasan kuasa kedua di negara ini dalam masa kurang dari satu tahun. – AFP, 20 Julai, 2021.
Komen