28 maut, 66 cedera dalam letupan bom di Baghdad


Warga Iraq memeriksa lokasi letupan di pasar di timur Baghdad. Satu letupan melanda pasar yang sibuk itu hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 28 orang dan mencederakan 66 orang dalam serangan bunuh diri yang dikatakan angkara pengganas. – Gambar AFP, 20 Julai, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 28 terbunuh dan 66 yang lain cedera dalam letupan bom di sebuah pasar di timur Baghdad pada Isnin, kata Kementerian Dalam Negeri lapor Agensi Berita Xinhua.

Insiden menjelang sambutan Aidiladha itu berlaku di pasar yang menjadi tumpuan ramai terletak di Sadr City, menyebabkan beberapa kedai dan gerai musnah selain merosakkan bangunan berdekatan.

Berikutan itu Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar bersama pihak keselamatan dan perisikan, memetik kenyataan pejabat akhbar perdana menteri. 

Presiden Iraq Barham Salih menerusi akaun Twitternya menyifatkan kejadian berdarah yang berlaku pada malam Aidiladha itu “amat keji dan kejam.”

“Mereka langsung tidak boleh memberi sedikit ruang untuk orang ramai menikmati kegembiraan. Kami tidak akan berhenti dan berusaha untuk mencari dalang serangan itu,” kata Salih.

Pihak berkuasa Iraq dalam satu kenyataan ringkas berkata maklumat terperinci akan dikeluarkan memandangkan siasatan masih dijalankan. Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. – Bernama, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen