PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan pada Selasa berikrar Turki akan melancarkan operasi terhadap bandar di Syria yang dikawal pemberontak Kurdish yang disifatkan sebagai “sarang keganasan” tidak lama lagi.
Pemberontak Kurdish yang mengawal bandar di utara Syria termasuk Manbij dan Afrin merupakan sekutu Amerika Syarikat namun Ankara menuduh kumpulan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) sebagai sebuah organisasi pengganas.
“Esok, (atau) hari seterusnya, (atau) dalam jangka masa pendek, kami akan hapuskan sarang pengganas satu persatu di Syria bermula dengan Afrin dan Manbij di utara Syria, janji Erdogan ketika berucap di Parlimen negara itu.
Turki, yang dari Ogos 2016 hingga Mac 2017 melancarkan operasi sempadan Euphrates Shield di Syria, telah berulang kali mengancam operasi baru terhadap kumpulan pemberontak itu.
Namun Erdogan telah meningkatkan amaran sejak beberapa hari lalu berikutan laporan media Turki, banyak kenderaan tentera dikerah ke kawasan sempadan.
Erdogan memberitahu pemberita bahawa operasi di Afrin akan dijalankan “bersama” pejuang pembangkang Syria terhadap pemberontak Kurdish dan kumpulan ekstremis IS.
Turki berkata YPG merupakan satu cabang Parti Pekerja Kurdistan yang diharamkan, yang telah melancarkan pemberontakan di Turki sejak tahun 1984. – AFP, 16 Januari, 2018.
Komen