Rakyat AS sudah divaksin boleh ke Kanada mulai Ogos


Kanada akan membuka semua sempadannya kepada pengembara warga asing yang sudah vaksin sepenuhnya bermula 7 September. – Gambar EPA, 20 Julai, 2021.

RAKYAT Amerika Syarikat (AS) dan penduduk tetap yang sudah mendapat dua dos vaksin Covid-19 akan dibenarkan merentas sempadan ke Kanada bagi pengembara biasa bermula 9 Ogos tanpa perlu menjalani kuarantin, kata kerajaan di Ottawa.

Kanada akan membuka semua sempadannya kepada pengembara warga asing yang sudah vaksin sepenuhnya bermula 7 September.

Sempadan darat antara AS-Kanada, sempadan terbesar dunia dan sempadan udara ditutup kepada orang ramai sejak pertengahan Mei 2020 kerana pandemik. Ia hanya dibuka untuk pengembara yang mendapat kebenaran.

 Tekanan semakin tinggi kepada kerajaan untuk melonggarkan sekatan perjalanan susulan sektor pelancongan terjejas teruk.

Tetapi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan pentadbirannya tidak mahu menjejaskan perkembangan dalam menyekat penularan Covid-19.

Awal bulan ini, Kanada menarik balik syarat kuarantin terhadap rakyatnya dan penduduk tetap yang pulang dari luar negara dan sudah divaksin sepenuhnya.

“Bermula 9 Ogos beberapa perubahan penting di sempadan akan dikuatkuasakan bagi membenarkan rakyat dan penduduk tetap AS yang sudah divaksin dan kini menetap di AS untuk masuk ke Kanada bagi tujuan tidak penting,” kata Menteri Kesihatan Kanada Patty Hadju.

Rakyat dan penduduk tetap AS yang sudah divaksin – dan akhirnya nanti kepada semua pengembara luar negara – perlu mendapatkan dos vaksin yang diluluskan pihak berkuasa Kanada, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tiba di negara itu.

Mereka juga perlu memastikan tidak bergejala ketika tiba di Kanada. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen