Peguam Britney Spears berusaha singkir ayahnya sebagai penjaga


Bintang pop terkemuka dunia Britney Spears diletakkan di bawah sistem penjagaan dikawal sepenuhnya ayahnya selepas kontroversi 2007. – Gambar AFP, 20 Julai, 2021.

PEGUAM Britney Spears sedang bertindak “agresif dan pantas” untuk membatalkan hak penjagaan ayahnya sebagai pengawal kehidupan artis terkemuka itu, kata peguam pada Isnin.

Peguam itu memberi perkembangan terkini kepada wartawan selepas sesi pendengaran di Mahkamah Los Angeles untuk membincangkan kos perlindungan keselamatan untuk penyanyi itu selepas beliau menerima ancaman kerana kes kontroversi itu.

“Firma dan saya sedang bertindak agresif dan pantas untuk memfailkan petisyen untuk menyingkirkan Jamie Spears kecuali dia berundur dahulu,” kata Mathew Rosengart.

“Kami sedang bekerja keras menyiapkan dokumen,” tambah Rosengart, yang dilantik minggu lepas selepas hakim membenarkan penyanyi itu memilih peguamnya sendiri.

Spears diletakkan di bawah sistem penjagaan yang dikawal oleh bapanya selepas mengalami tekanan perasaan yang mendapat liputan dunia pada 2007.

Tetapi, bintang pop itu semakin lantang menentang sistem itu dan memberi keterangan di mahkamah pada bulan lepas, menyifatkan sistem itu sebagai “penderaan”.

Beliau mengulangi dan melanjutkan keterangan di mahkamah minggu lepas, menerusi panggilan telefon dan pada hujung minggu menerusi hantaran di Instagramnya yang beliau “tidak akan membuat persembahan di mana-mana pentas dalam masa terdekat selagi mana ayahnya mengendalikan (keputusan) apa yang saya pakai, kata, buat atau fikir.”

Sebelum Spears memohon mahkamah menamatkan sistem penjagaan itu, peminat setianya di seluruh dunia melancarkan kempen #FreeBritney di media sosial serta berpiket di depan mahkamah ketika sesi pendengaran kes.

“Saya sekali lagi berterima kasih kepada Britney Spears kerana keberanian dan kekuatannya,” kata Rosengart pada Isnin.

“Saya juga berterima kasih kepada peminat dan penyokong Britney,” tambahnya.

“Sokongan diterima firma saya, diri saya sendiri dan lebih penting untuk Britney sangat mengujakan, dari pelbagai kawasan dan seluruh dunia.”

Peguam Jamie Spears minggu lepas memberitahu mahkamah yang beliau tidak akan berundur secara sukarela, dan menafikan keterangan Britney yang menyalahkan ayahnya atas semua perkara buruk yang berlaku ke atasnya, menyifatkan keterangan anaknya itu sebagai “menyimpang jauh daripada kebenaran.”

Pendengaran pada Isnin berkaitan permohonan bayaran kos keselamatan sebanyak AS$50,000 sebulan dari Jodi Montogomery yang bertanggungjawab ke atas keselamatan penyanyi itu.

Seluruh aset Britney dikawal oleh ayahnya.

Satu lagi pendengaran tentang upah keselamatan akan berlaku pada Isnin depan, sebelum beberapa petisyen lain yang akan didengar mahkamah pada September. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen