Sistem Parlimen digodam, Norway panggil duta China


Parlimen Norway antara yang digodam dalam serangan siber global berasal dari China pada Mac lepas. – Gambar AFP, 20 Julai, 2021.

NORWAY pada Isnin memanggil diplomat China untuk menyuarakan bantahan ke atas “serangan siber tidak boleh diterima” yang berlaku kepada sistem IT Parlimen negara itu pada Mac lepas.

Parlimen Norway berkata ia menjadi sasaran serangan siber global yang dilakukan ke atas Microsoft Exchange Servers dan menyalahkan kumpulan pengodam disokong China.

Tujuh bulan sebelum itu, Parlimen turut digodam dalam serangan yang dipersalahkan ke atas kumpulan berpangkalan di Rusia.

“Kami panggi duta China menghadap awal hari ini,” kata Menteri Luar Ine Eriksen Soreide dalam satu sidang media.

“Kami terus terang cakap serangan sebegini tidak boleh diterima.”

Tambahnya, serangan itu dibuat “dari China” tetapi tidak meletakkan kesalahan langsung kepada negara kuasa besar itu.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Britain menyalahkan China kerana serangan siber pada Mac itu.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan China di Oslo berkata “ia menunggu Norway menyediakan bukti atas dakwaan itu”.

“Keselamatan siber memerlukan kerjasama dan usaha kolektif dan bukannya manipulasi politik,” tambahnya.

Pada 2010, China menyuarakan bantahan keras selepas Hadiah Nobel Keamanan diberikan kepada pengkritik China yang sedang dipenjara Liu Xiaobo.

Kejadian itu menjejaskan hubungan antara Oslo dan Beijing walaupun Hadiah Nobel diberikan oleh panel bebas. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen