Tubuhkan pusat kajian Covid-19 untuk persiapan lebih baik, kata Kit Siang


Semalam, Malaysia berada di kedudukan ke-12 kes harian tertinggi seluruh dunia dan jumlah kematian harian ke-9 tertinggi dunia, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu menubuhkan pusat kajian pandemik Covid-19 supaya kerajaan dapat bersiap sedia dengan lebih baik dalam pengurusan pandemik, kata Lim Kit Siang hari ini.

“Saya mengulangi cadangan saya 17 bulan lalu yang Malaysia perlu menubuhkan Pusat Kajian Covid-19 untuk belajar daripada kejayaan dan kesilapan negara lain dan mengikuti perkembangan terkini perkara ini,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dengan kewujudan pusat itu, tiada menteri akan memperbodohkan diri sendiri dengan menafikan Malaysia adalah antara negara terburuk di dunia dalam pengurusan pandemik Covid-19.

Beliau juga menegaskan banyak negara dunia kini sudah mengubah dasar daripada “Sifar Covid” kepada “Hidup dengan Covid”.

Malaysia melaporkan 10,927 kes baharu Covid-19 dan 129 lagi kematian semalam.

Data ini, kata Lim, berada di kedudukan ke-12 kes harian tertinggi seluruh dunia dan jumlah kematian harian ke-9 tertinggi dunia.

“Kerajaan perlu menggerakkan strategi untuk menurunkan kadar kematian kes Covid-19- yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada dasar baharu dalam perang melawan pandemik Covid-19,” katanya. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen