30 maut insiden letupan bunuh diri di Iraq pada malam Aidiladha


Insiden pengebom bunuh diri di tengah orang ramai yang sibuk membeli barangan untuk sambutan Aidiladha memusnahkan pasar di pinggir Baghdad pada lewat malam semalam. – Gambar AFP, 20 Julai, 2021.

KUMPULAN pengganas IS mengaku bertanggungjawab dalam insiden letupan bunuh diri di sebuah pasar di ibu kota Iraq menjelang perayaan Aidiladha awal pagi ini, menyebabkan hampir 30 terbunuh, kata sumber perubatan.

Menerusi mesej disiarkan ke saluran Telegram, kumpulan militan itu memaklumkan seorang pengebom bunuh diri bernama Abu Hamza al-Iraqi meletupkan tali pinggang peledaknya di tengah-tengah orang ramai di Sadr City, sebuah bandar di pinggir Baghdad pada lewat malam semalam.

Insiden itu turut mencederakan 35 yang lain.

Serangan itu yang terburuk di Baghdad sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mangsa ledakan itu kelihatan terbaring di seberang pasar yang sebelumnya dipenuhi pelanggan membeli bahan makanan menjelang sambutan Aidiladha.

Kira-kira 50 tercedera dalam letupan itu, menurut pakar perubatan.

Presiden Iraq Barham Salih menyifatkan insiden di di lokasi yang majoriti penduduk Syiah itu satu perbuatan keji serta mengucapkan takziah kepada mangsa.

“Mereka menyasarkan orang awam di Sadr City pada malam Aidiladha. Mereka tidak membiarkan orang bergembira, walaupun hanya untuk seketika,” kata Salih di Twitter.

Lapan wanita dan tujuh kanak-kanak antara yang maut, menurut sumber perubatan dan memberitahu angka kematian keseluruhan antara 28 dan 30 orang.

Dalam kenyataan pagi ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengesahkan kanak-kanak antara yang terbunuh dan cedera dalam serangan itu.

“Serangan mengerikan sebelum Aidiladha adalah peringatan mengerikan terhadap keganasan yang terus dihadapi kanak-kanak Iraq,” katanya.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial selepas letupan itu menunjukkan mangsa berdarah dan orang ramai menjerit ketakutan.

Letupan kuat itu merosakkan bahagian bumbung gerai di pasar berkenaan. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen