Silap pentadbiran, 6 perenang Poland dihantar pulang


Alicja Tchorz, antara perenang yang dihantar pulang menyerang PZP menerusi Facebook dan menyifatkan PZP tidak cekap dan tidak faham peraturan. – Gambar EPA, 20 Julai, 2021.

ENAM perenang dari Poland terpaksa pulang dari Jepun sebelum temasya Sukan Olimpik bermula, berikutan Persekutuan Renang Poland (PZP) menghantar terlalu ramai atlet kerana kesilapan pentadbiran.

Kelompok perenang terbabit pulang ke Poland, Ahad lalu dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang selain menuntut ketua PZP untuk meletakkan jawatan kerana insiden terbabit.

Seramai 23 perenang Poland dihantar ke Jepun.

“Saya menyatakan kekesalan, kesedihan dan kekecewaan saya kerana situasi ini,” kata Pengarah FZP Pawel Slominski dalam satu kenyataan.

Slominski mengakui kesilapan tetapi katanya ia berlaku kerana didorong semangat hendak “menghantar seberapa ramai mungkin atlet dan jurulatih untuk menyertai pertandingan”.

Seorang perenang terbabit, Alicja Tchorz menyerang PZP menerusi Facebook dan menyifatkan PZP tidak cekap dan tidak faham peraturan.

“Bayangkan anda sudah berkorban lima tahun… dan pengorbanan anda berakhir dengan kegagalan,” kata Tchorz yang pernah menyertai Olimpuk 2012 dan 2016.

Seorang lagi atlet, Mateusz Chowaniec menerusi Instagramnya berkata “situasi ini mengarut yang sepatutnya tidak terjadi”.

Menteri Kebudayaan dan Sukan Poland menggesa presiden PZP memberikan penjelasan serta merta atas insiden terbabit. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen