Peningkatan kes kematian Covid-19 tidak dapat dielak, kata pakar 


Ragananthini Vethasalam

Jumlah kes kematian dalam sehari turut mencapai angka tertinggi dengan 153 kes direkodkan pada 18 Julai. Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Julai, 2021.

PENINGKATAN kes kematian Covid-19 tidak dapat dielakkan berdasarkan kepada lonjakan kes aktif dan kritikal, kata pakar kesihatan.

Malaysia mengalami peningkatan kes aktif yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam tempoh seminggu lalu dengan lebih daripada 128,000 orang dijangkiti koronavirus di seluruh negara.

Jumlah kes kematian dalam sehari turut mencapai angka tertinggi dengan 153 kes direkodkan pada 18 Julai. Jumlah keseluruhaan kes kematian sejak permulaan pandemik kini 7,148.

Pengkritik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mempersoalkan mengapa kadar kes kematian masih mencecah tiga digit walaupun program vaksinasi sudah dipergiatkan.

Sejumlah 14.34 juta dos vaksin Covid-19 diberikan dengan 344,961 dos diberikan pada 18 Julai.

Daripada jumlah itu, 9.81 juta atau 30.1% penduduk menerima satu dos vaksin manakala 13.9% atau 4.53 juta penduduk menerima vaksin sepenuhnya.

Hospital di sekitar Lembah Klang kini sesak, malah ada pesakit yang tewas ketika bertarung nyawa mengatasi Covid-19 ketika menunggu untuk dipindahkan bagi menerima rawatan.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata peningkatan kes kematian sememangnya sudah dijangka.

“Ini sudah dijangka, sekiranya kita ada kes aktif dan kritikal. Jika jumlah mereka yang di tahap kritikal melebihi kapasiti kritikal hospital, jumlah kematian lebih tinggi memang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Malina turut menyatakan perbezaan ketara kes aktif kini yang melebihi 128,000 kes sedangkan pada perintah kawalan pergerakan pertama (PKP), jumlahnya hanya lebih 2,000.

Petugas pengebumian menyembur semburan pembasmi kuman di keranda mayat pesakit Covid-19 sebelum proses pembakaran dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

Sementara itu Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata ianya mengambil masa bagi kes tanpa gejala Kategori 1 untuk menjadi kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan serta kegagalan organ di Kategori 5.

Beliau berkata kemerosotan hanya akan dapat dilihat dalam beberapa minggu.

“Vaksin juga mengambil masa lebih dua minggu untuk berkesan, Ianya tidak berkesan serta merta.

“Tambahan pula, ketika ini kita berdepan dengan varian Delta,” katanya.

Dr Zainal juga berkata membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri juga masih tidak sesuai ketika ini kerana kes aktif masih memuncak.

“Mungkin selepas dua minggu lagi, kita akan melihat trend menurun,” katanya.

Dr Zainal berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu Putrajaya akan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka yang menerima vaksin penuh untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri.

Dr Malina turut menyatakan kebimbangan dengan kelonggaran pramatang daripada prosedur operasi standard (SOP) ketat akan menjejaskan individu yang belum divaksin.

“Beberapa mekanisme bagi memastikan kehadiran gelembung keselamatan atau kelonggaran SOP berperingkat, sangat disyorkan,” katanya.

Dr Malina turut menyatakan kebimbangan sistem kesihatan sekarang semakin tenat dengan jumlah kes yang tinggi.

Beliau berkata ini antaranya disebabkan orang ramai sudah mula mengabaikan keselamatan, merasakan mereka selamat daripada virus selepas menerima dos pertama vaksin atau sudah divaksin sepenuhnya.

Tahun ini saja lebih 700 kes kematian di rumah (BID) direkodkan manakala 6,677 kematian dilaporkan tahun ini.

Sementara itu, pakar perunding pediatrik Dr Amar Singh HSS menerusi Twitter berkata purata 3.3 kematian dilaporkan setiap jam pada Jun dan meningkat kepada 4.3 pada Julai.

“Jun 10.2% kematian di rumah, Julai 13.4% kes kematian di rumah,” kata Amar.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menerusi Twitter pada 16 Julai lalu meminta bantuan segera untuk perkhidmatan ambulans bagi memindahkan pesakit ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang yang kini sesak. 

Charles berkata seorang lelaki maut akibat Covid-19 ketika menunggu di rumah selama tiga hari manakala seorang ibu tunggal, yang suaminya meninggal akibat Covid-19 terkandas di rumah. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen