Polis minta saksi tampil bantu siasatan kes kemalangan maut di Subang


WANITA yang dilihat memakai gelang pink ketika membonceng motosikal di tempat awam seperti tular di media sosial, disahkan sedang dalam perjalanan pulang dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita tersebut telah disahkan positif Covid selepas menjalani ujian saringan di sebuah klinik di Kota Damansara pada Sabtu lepas dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Tambahnya, penunggang motosikal itu juga positif Covid-19. 

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung imej yang tular tersebut, kerana ianya boleh mengundang pelbagai isu yang tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Mohd Fakhrudin berkata, pihaknya memohon bantuan saksi awam untuk tampil bagi membantu siasatan kes kemalangan maut, melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Lapangan Terbang Subang, 1 Julai lepas.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kes di mana seorang pemandu van telah menyedari kenderaannya dilanggar dari belakang setelah mendengar bunyi yang kuat dan mendapati seorang penunggang motosikal telah melanggar van itu serta cedera parah.

“Penunggang motosikal itu telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam dan menerima rawatan di zon merah namun pada 2 Julai kira-kira 11.48 malam, mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta untuk tampil di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan. – Bernama, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen