POLIS sedang menyiasat satu video sekumpulan individu, yang dipercayai berkumpul sambil menikmati makanan di sebuah pondok tepi sungai, di sebuah kampung di sekitar Skudai dekat Johor Bahru, yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Rupiah Abd Wahid berkata, hasil siasatan menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook oleh pemilik ‘Atan Abdul’ mendapati, kesemua 12 individu yang sedang menikmati makanan secara berkumpulan jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Hasil siasatan video yang tular itu jelas melanggar SOP Fasa Satu PPN, iaitu larangan berkumpul atau mengadakan atau menghadiri sebarang majlis berkumpulan. Kumpulan individu itu juga didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak menggunakan pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rupiah berkata, kes akan disiasat di bawah Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, yang memperuntukkan hukuman denda RM4,000 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, sekali jika sabit kesalahan. – Bernama, 19 Julai, 2021.
Komen