PEMAIN bola tampar pantai Czech Ondrej Perusic positif Covid-19 di Perkampungan Olimpik Tokyo, kata pegawai selepas dua pemain bola sepak Afrika Selatan dan seorang penganalisis didapati turut dijangkiti di kompleks itu.
Perusic menghantar sampel untuk diuji di Perkampungan Olimpik semalam, kata ketua pasukan Olimpik Czech Martin Doktor dalam satu kenyataan.
“Beliau tidak bergejala langsung. Kami sedang menunggu butiran lanjut dan mengambil tindakan anti epidemik dalam kalangan ahli pasukan,” katanya.
Pada Sabtu, Jawatankuasa Olimpik Czech melaporkan seorang staf didapati positif Covid-19 apabila tiba di Tokyo untuk menghadiri kejohanan yang bermula Jumaat.
Kes Perusic adalah keempat di Perkampungan Olimpik.
Perkampungan Olimpik ialah kompleks pangsapuri dan ruang makan di Tokyo yang menempatkan 6,700 atlet dan pegawai. Olimpik 2020 akhirnya berlangsung selepas ditangguhkan kerana Covid-19 tahun lalu. – AFP, 19 Julai, 2021.
Komen