TIGA belas anggota polis terbunuh dalam serangan oleh pencuri lembu di Zamfara, barat laut Nigeria, dalam kejadian keganasan terbaharu di wilayah itu, kata polis pada lewat malam.
Satu unit polis diserang di kampung Kurara Mota di mukim Bungudu ketika “menyahut seruan darurat” oleh penduduk kampung berhampiran mengenai serangan yang akan dibuat oleh penyamun, kata jurucakap polis tempatan Mohammed Shehu.
“Malangnya, nyawa 13 anggota tergadai,” tambah Shehu.
Barat laut Nigeria telah teruk menjadi sasaran geng penjenayah yang menyerang kampung, mencuri lembu, menculik tebusan dan membakar rumah selepas merampas bekalan.
Polis berkata usaha memburu telah giat dilakukan bagi mengesan penyerang di hutan berdekatan di mana mereka dipercayai bersembunyi, kata Shehu.
Penduduk berkata penyamun itu sebelum ini menyerang masyarakat Magami yang berdekatan, tetapi digagalkan oleh tentera yang ditempatkan di bandar itu.
“Penyamun kemudian menyerang sebuah kampung jiran di mana mereka membunuh seorang dan merompak beberapa kedai sebelum meneruskan perjalanan ke Kurar Mota di mana mereka bertempur dengan polis,” kata penduduk Bature Dan-Malam.
Pengerahan tentera dan perjanjian damai dengan penyamun gagal mengakhiri keganasan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, penjenayah menyerang sekolah dan menculik ratusan pelajar untuk memungut wang tebusan daripada saudara-mara.
Penyamun dipercayai bersembunyi di hutan Rugu yang meliputi Katsina, Kaduna, Zamfara dan Niger.
Keganasan itu telah memaksa 80,000 orang melarikan diri ke negara jiran Niger dalam tempoh dua tahun terakhir ini, menurut agensi pelarian PBB, UNHCR. – AFP, 19 Julai, 2021.
Komen