Gagal bendung varian Delta, Melbourne lanjut perintah berkurung


Jalan raya di tengah bandar Melbourne lengang susulan perintah berkurung dikuatkuasakan lagi untuk menyekat penularan Covid-19 varian Delta. – Gambar EPA, 19 Julai, 2021.

DUA bandar terbesar di Australia masih di bawah penguatkuasaan sekatan ketat terhadap SOP Covid-19 dengan Melbourne melanjutkan perintah berkurug lima hari lagi untuk menyekat penularan wabak itu.

“Sekatan ini tidak akan berakhir tengah malam esok,” kata ketua menteri Victoria Daniel Andrews, tanpa menjelaskan berapa lama perintah berkurung di Melbourne akan dikuatkuasakan.

Kira-kira 12 juta penduduk dikenakan perintah kawalan bergerakan di Melbourne dan Sydney, di mana sekatan selama sebulan gagal menyekat penularan varian Delta.

Australia antara negara yang dapat mengawal jangkitan dalam komuniti dalam tempoh 18 bulan sejak pandemik bermula, tetapi kini melaporkan 100 kes baharu setiap hari menyebabkan ia meluaskan lagi kuasa penjejakan kontak.

Penularan terbaru berlaku sejak pertengahan Jun apabila seorang pemandu di Sydney dijangkiti virus itu daripada anak kapal warga asing.

Virus itu kemudian tersebar ke Melbourne, menyebabkan perintah berkurung serta-merta dikuatkuasakan dan dijadualkan tamat malam esok, tetapi ia gagal mengurangkan jangkitan baharu kepada sifar.

Victoria hari ini melaporkan 13 kes baharu.

Andrews berkata langkah sekatan itu memberikan kesan, ada perkembangan yang baik dan kerajaan dapat mengelak ribuan kes jangkitan.

Penduduk kini menjalani perintah berkurung kali kelima.

Di Sydney, perintah berkurung dijangka tidak ditarik balik dalam tempoh terdekat walaupun tempoh akhir dijadualkan akhir bulan ini.

Pada Sabtu, New South Wales memperkenalkan sekatan baharu dan mengarahkan semua kedai tidak penting ditutup.

Negeri itu melaporkan 98 kes baharu hari ini. – AFP, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen