Hina sultan, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Mahfuz 


Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar didakwa menghina dan menjadikan video Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2018.

GABUNGAN Anak Daerah-Daerah Pahang di Lembah Klang hari ini membuat satu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berhubung tindakannya menghina dan menjadikan video Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.

Pengerusi Anak Pekan Di Lembah Klang, Shahruddin Ahmad yang mewakili gabungan itu, memohon pihak berkuasa mengambil satu tindakan sewajarnya  dengan segera bagi memberikan pengajaran kepada Mahfuz dan individu yang lain.

“Kami berharap ia akan memberi pengajaran kepada beliau supaya tidak mengulanginya dan orang lain supaya menghormati institusi raja,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Janganlah kita membabitkan institusi raja dalam kempen politik…sepatutnya rakyat mendoakan Sultan agar terus sihat untuk memerintah negeri tetapi kita lihat dia memperlekehkan tuanku yang mempunyai darjat tersendiri,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Anak Maran di Lembah Klang, Jasri Jamaludin dan Presiden Kelab Anak Jerantut di Lembah Klang, Rozilan Salleh serta kira-kira 15 wakil gabungan itu daripada setiap daerah di Pahang.

Semalam, empat laporan polis dibuat terhadap Mahfuz berhubung isu yang sama masing-masing di IPD Kuantan dan Pekan, Pahang.

Laporan tersebut dibuat berikutan klip video ceramah politik Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6.38 minit tular di laman media sosial.

Dalam ceramah tersebut, Mahfuz antara lain mengulas kewajaran Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering. – Bernama, 16 Januari, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen