DENGAN cuaca terlalu panas dan kering di barat Amerika Syarikat (AS) dan Kanada semalam, kebakaran besar digelar “Bootleg Fire” berlaku lagi di Oregon mendorong pihak berkuasa sekali lagi mengarahkan penduduk dipindahkan.
Kawasan Bootleg yang merekodkan 80 kebakaran di utara AS sekarang merebak dalam tempoh semalaman antara 110,883 hektar hingga 117,358 hektar iaitu tiga kali ganda saiz bandar Detroit, kata pihak berkuasa.
Kira-kira 2,000 penduduk sudah dipindahkan, dengan ramai lagi yang lain akan berpindah ke tempat perlindungan.
Imej cerapan satelit Perkhidmatan Cuaca Nasional menunjukkan kepulan asap besar dari Bootleg dekat selatan Oregon sehingga ke sempadan Kanada yang terletak beratus kilometer ke timur laut.
Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran di bahagian barat Bootleg yang secara keseluruhan menyaksikan kawalan kebakaran meningkat tiga kali ganda kepada 22%.
Bagaimanapun, angin kencang dan ribut petir meluas menjadi ancaman serius terhadap usaha memadamkan kebakaran.
Bomba berkata petir yang turut menjadi punca kebakaran kian merebak pantas di kawasan pelancong di Tasik Tahoe, California.
Fenomena digelar sebagai Tamarack Fire menyebabkan keadaan bertambah buruk dengan tiupan angin kuat dan api merebak pantas sehingga 8,093 hektar.
Setakat ini tiada langkah membendungnya dijalankan.
Komuniti kecil yang berdekatan iaitu Markleeville berhampiran sempadan Nevada, turut dipindahkan.
Saintis berkata perubahan iklim memburukkan lagi cuaca kering yang menjadi faktor utama kebakaran belukar merebak pantas.
Pusat Bomba Antara-Agensi Nasional meramalkan keadaan sangat panas, kering dan tidak stabil akan berlaku di seluruh barat laut Pasifik, Utara Rockies dan Plains sehingga ke utara Minnesota.
Sementara itu, anggota bomba di Kanada terus berusaha memadamkan puluhan kebakaran termasuk di 20 kawasan baharu sekitar British Columbia dan 15 lagi di barat laut Ontario. – AFP, 19 Julai, 2021.
Komen