Jenazah jurugambar maut di Afghanistan dihantar pulang ke India


Jenazah jurugambar Danish Siddiqui yang maut di Afghanistan dibawa pulang dikebumikan di ibu negara India semalam. – Gambar EPA, 19 Julai, 2021.

MAYAT jurugambar yang pernah memenangi Anugerah Pulitzer, Danish Siddiqui dikebumikan di ibu negara India semalam, dua hari selepas dia terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Afghanistan dan Taliban berhampran sempadan Pakistan.

Siddiqui, seorang warganegara India merupakan jurugambar agensi berita Reuters sedang bertugas semasa kejadian berlaku.

Dia diserang oleh militan Taliban berhampiran pos perbatasan utama Pakistan semasa bersama konvoi pasukan Afghanistan.

Jenazah mangsa berusia 38 tahun itu tiba di New Delhi dalam penerbangan dari Afghanistan semalam dan dibawa pulang ke rumahnya.

Dianggarkan kira-kira 500 orang mengiringi jenazah Siddiqui di Delhi, menurut seorang jurugambar AFP.

Dia kemudiannya dikebumikan di tanah perkuburan di kampus universiti.

Siddiqui adalah sebahagian daripada pasukan yang berkongsi Hadiah Pulitzer 2018 selepas mendokumentasikan krisis pelarian Rohingya.

Dia juga bertugas untuk membuat liputan perang di Iraq, protes Hong Kong dan gempa bumi di Nepal sejak mula bekerja untuk Reuters pada 2010, kata agensi berkenaan.

Afghanistan sudah lama menjadi salah sebuah negara paling berbahaya di dunia untuk media berita.

Beberapa wartawan termasuk wanita terbunuh dalam serangan yang disasarkan sejak Taliban dan Washington menandatangani perjanjian pada Februari 2020 yang membuka jalan bagi penarikan pasukan asing. – AFP, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen