Lebih 2,000 polis dikerahkan bagi menghalang penunjuk perasaan di Thailand yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dan agar kerajaan bertanggungjawab di atas salah urus pandemik Covid-19.
Dalam protes berkenaan, polis terpaksa menggunakan meriam air, peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di Ratchadamnoen Avenue, di mana ribuan orang ramai menghadiri perhimpunan sama pada tahun lalu.
Penunjuk perasaan itu menentang larangan mengadakan perhimpunan awam yang dikuatkuasakan susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Ada dalam kalangan mereka berusaha merosakkan pagar kawat berduri dan sekatan logam yang dipasang polis di sepanjang Ratchadamoneon Nok Avenue dalam usaha untuk menghalang mereka memasuki Rumah Kerajaan.
Sebelum itu, kereta dan motosikal bergabung dengan sekumpulan penunjuk perasaan menuju ke Rumah Kerajaan.
“Kerajaan pembunuh!” tulis seorang pemimpin penunjuk perasaan, Panusaya “Rung” Sithijirawattanakul menerusi Twitternya selepas polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.
Thatchapong Kaedam, pemimpin kumpulan Pemuda Bebas mengajak orang ramai untuk menghentikan tunjuk perasaan berkenaan.
“Kami tidak pernah menyangka protes damai ini akan diserang dengan teruk,” katanya.
“Kerajaan lemah dalam mengurus situasi dan jika kita tidak melakukan apa-apa, tidak akan ada perubahan,” kata Kanyaporn Veeratat, 34, seorang penunjuk perasaan kepada Reuters.
Protes itu bagaimanapun dihentikan kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Sebuah pondok didirikan berhampiran Monumen Demokrasi di Wat Ratchanatda bagi membolehkan sukarelawan kesihatan merawat penunjuk perasaan yang cedera semasa operasi polis.
Pol Kol Kissana Phathanacharoen, wakil jurucakap Polis Diraja Thailand berkata, penggunaan meriam air dan peluru getah sesuai dengan undang-undang.
Pada Jumaat lepas, pengumuman melarang perhimpunan seperti itu diterbitkan di Royal Gazette. – Bangkok Post, 19 Julai, 2021.
Komen