34 terbunuh dalam insiden dinding rumah runtuh di India


Pasukan penyelamat sedang mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam kejadian dinding rumah runtuh selepas dihempap pokok tumbang di Mumbai, India, semalam. – Gambar EPA, 19 Julai, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 34 orang terbunuh apabila dinding rumah runtuh akibat dilanda hujan lebat di Mumbai semalam.

Air banjir turut membanjiri kompleks pembersihan air, menganggu bekalan air di sebahagian besar wilayah di Mumbai yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk, kata pihak berkuasa.

Dinding rumah penduduk itu didakwa runtuh selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Chembur pada awal pagi yang menyebabkan beberapa penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut pihak berkyasa, operasi mencari menemukan 21 mayat di dalam runtuhan berkenaan.

Di pinggir bandar Vikhroli di timur laut kota berkenaan, seramai 10 orang terbunuh selepas tanah runtuh melanda lima rumah pada awal pagi semalam.

Tiga yang lain terbunuh dalam insiden berasingan yang disebabkan oleh banjir berkenaan, lapor Times of India.

Mumbai dilanda hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan perkhidmatan pengangkutan terjejas.

Jabatan Meteorologi India berkata, pada awal Ahad, hujan sederhana sehingga hujan lebat diramalkan melanda selama dua hari akan datang.

Perdana Menteri Narendra Modi mengucapkan takziah dan menambah bahawa akan ada pampasan kewangan untuk keluarga mangsa.

Runtuhan bangunan adalah perkara biasa semasa musim tengkujuh Jun hingga September di India.

Bulan lepas, seramai 12 orang terbunuh apabila sebuah bangunan runtuh di Mumbai.

Pada September tahun lalu, seramai 39 orang maut apabila sebuah blok pangsapuri tiga tingkat runtuh di Bhiwandi berhampiran ibu kota kewangan. – AFP, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen