GEMPA berkekuatan 5.7 skala Richter melanda wilayah Selatan Iran, Fars semalam, lapor media tempatan.
Ia melanda pada kedalaman 11 kilometer dengan pusat gempa berhampiran kota Khesht, kira-kira jam 7 malam. Beberapa gempa susulan yang lemah turut dikesan, menurut pusat seismologi Iran.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat mengatakan gegaran awal dikesan pada skala 5.4.
Tidak ada sebarang laporan mengenai korban atau kerosakan harta benda, kira-kira dua jam selepas gempa.
Pasukan penyelamat dan tinjauan dihantar ke daerah itu dan hospital berada dalam keadaan berjaga-jaga, kata ketua pengurusan krisis wilayah Fars, Rahim Azadi.
Iran berada di sempadan beberapa plat tektonik utama dan sering dilanda gempa bumi.
Pada 2003, gempa berkekuatan 6.6 di tenggara melanda kota Bam dan mengorbankan sekurang-kurangnya 31,000 penduduk.
Gempa paling dahsyat yang melanda Iran adalah berkekuatan 7.4 pada 1990 yang mengorbankan 40,000 penduduk di utara, mencederakan 300,000 orang dan menyebabkan setengah juta penduduk hilang tempat tinggal. – AFP, 19 Julai, 2021.
Komen