Angka kematian banjir di Belgium meningkat kepada 31 orang


Banjir besar yang melanda beberapa negara Eropah minggu ini menyebabkan banyak rumah terjejas selain ratusan penduduk masih lagi hilang. – Gambar EPA, 19 Julai, 2021.

JUMLAH penduduk Belgium yang terkorban dalam banjir besar yang melanda beberapa negara Eropah minggu ini meningkat kepada 31 orang semalam, menurut angka rasmi ketika pihak berkuasa mengatakan mereka sudah menghentikan operasi menyelamat.

“Operasi menyelamat sudah berakhir tetapi pencarian diteruskan di beberapa kawasan

“Operasi pembersihan dilakukan dan kini menumpukan kepada kerosakan barangan,” kata pusat kriris negara itu semalam.

Jumlah kematian semalam menunjukkan peningkatan lagi mangsa berbanding jumlah dilaporkan pada Sabtu, sementara jumlah mereka yang hilang meningkat kepada 163 orang.

Polis ditugaskan memeriksa dari rumah ke rumah di kawasan terjejas di selatan dan timur Belgium.

Di bandar Pepinster yang paling teruk terjejas, lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Lebih 37,000 rumah masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan 3,600 tanpa gas semalam, kata pihak berkuasa.

Sementara pengendali kereta api berkata, terdapat gangguan pada hampir keseluruhan perkhidmatan kereta api di seluruh negara.

Pusat krisis mendesak orang ramai untuk mengelak melakukan perjalanan di kawasan yang terjejas susulan jalan raya yang berbahaya dan masih dilanda banjir.

Walaupun ramai yang sudah menyalurkan bantuan membantu mereka yang menderita dalam banjir, pihak berkuasa mendesak orang ramai untuk memberikan bantuan kewangan kepada Palang Merah. – AFP, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen