Ketidakstabilan politik antara punca kerajaan gagal tangani Covid-19, kata bekas menteri


Raevathi Supramaniam

Ketidakstabilan politik dan kemahuan politik yang lemah antara sebab kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, kata bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai 2021.

KETIDAKSTABILAN politik dan kemahuan politik yang lemah dalam mendorong keputusan kesihatan adalah antara sebab kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, kata bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam.

Beliau berkata kegagalan membendung penyebaran virus secara efektif tidak sepatutnya ditujukan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semata-mata bahkan perlu juga dipikul menteri Adham Baba dan timbalan menterinya, Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang.

“Mereka sepatutnya tegas dalam mengemukakan cadangan dan melindungi masalah kesihatan yang mungkin ditimbulkan oleh orang-orang teknikal dalam kementerian itu sendiri.

“Dalam situasi itu, tidak adil untuk meminta orang teknikal yang berada di bawah kepemimpinan KP Kesihatan untuk menentang kepemimpinan politik yang boleh dianggap mustahil.

“Ia merupakan perkaitan yang lemah di sana yang tidak memungkinkan penasihat kesihatan untuk benar-benar menggantikan atau mengesampingkan keputusan politik. Saya rasa itu adalah satu masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, bekas ketua pengarah Dr Mohamed Ismail Merican membandingkan Noor Hisham dengan “harimau tanpa gigi” kerana tidak meletakkan keputusan kesihatan tertentu dan tidak bersubahat dengan ahli politik yang ingin membuat keputusan populis.

Bekas presiden MIC itu berkata dari segi membenarkan orang-orang melakukan pergerakan rentas negeri semasa Hari Raya, pembukaan Bazar Ramadan dan pasar malam ketika jumlah kes meningkat adalah keputusan yang dibuat kerajaan kerana ada dua pemikiran mengenainya, apakah akan ditutup atau terus dibuka.

“Niat kesihatan dan keputusan seterusnya (politik) yang dibuat oleh kerajaan saling bertentangan. Konflik ini menyebabkan peningkatan jumlah kes dan akibatnya itulah apa yang sedang kita hadapi sekarang.

“Saya cukup yakin bahawa orang-orang dari KKM, terutama dari aspek teknikal dan kesihatan awam, akan membuat keputusan yang tepat dan memberi nasihat yang tepat.

“Sama ada mereka dapat menyampaikan nasihat ini kepada kepemimpinan politik, itu adalah sesuatu yang saya tidak begitu yakin dan saya percaya bahawa mereka mungkin tidak dapat melakukannya dengan berkesan dan ketidakupayaan itu mungkin berakhir dalam beberapa keputusan yang tidak selaras dengan pendirian KKM, “katanya.

Dr Nor Hisham semalam memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan ziarah pada Hari Raya Aidiladha minggu depan, sambil menambah aktiviti ziarah menziarahi semasa perayaan Aidilfitri dan Gawai menyumbang kepada 267 kluster komuniti dalam tempoh dua minggu terakhir. – 19 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen