JUMLAH stesen pangkalan 5G di China merupakan 70% daripada jumlah keseluruhan dunia membolehkan negara ini memainkan peranan utama dalam teknologi 5G.
Menurut laporan disiarkan laman web Business Wire Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, sejak melancarkan perkhidmatan 5G secara komersial pada 2019, China mencapai kemajuan pesat dalam pembangunan rangkaian 5G.
Ia turut terbukti dengan pelaburan yang meningkat stabil, dan kedudukannya sebagai nombor satu dalam ranking dunia dalam kategori jumlah bandar yang mempunyai liputan 5G dan kadar populariti 5G.
Perkembangan Internet yang pesat merupakan satu cerminan utama tentang wujudnya masyarakat makmur sederhana di China.
Jurucakap Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Tian Yulong berkata, rangkaian gentian optik dan rangkaian standalone 4G and 5G yang dibina di China kini menjadi rangkaian terbesar di dunia dengan jumlah stesen pangkalan 5G mencecah 961,000.
Kawasan aplikasi 5G meliputi semua bandar besar dan bilangan peranti terminal yang disambungkan ke rangkaian 5G mencatat 365 juta setakat hujung Jun, merangkumi 80% daripada jumlah keseluruhan dunia.
Sementara itu, Laporan Perkembangan Internet China 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan, negara ini mempunyai 160 juta pelanggan rangkaian 5G pada akhir 2020, kira-kira 89% keseluruhan pengguna 5G di seluruh dunia.
Jumlah pengguna internet pula mencatat 989 juta orang dengan kadar populariti mencecah 70.4%. – Bernama, 18 Julai, 2021.
Komen