4 ditembak di luar stadium besbol di Washington


Penonton di stadium besbol di Nationals Park bangun mengosongkan tempat duduk masing-masing selepas diarahkan keluar susulan insiden tembakan. – Gambar AFP, 18 Julai, 2021.

EMPAT Individu ditembak di luar sebuah stadium besbol yang dipenuhi ribuan penonton di  Washington, Amerika Syarikat semalam.

Insiden itu menyebabkan perlawanan dihentikan serta-merta dan penonton diminta keluar dari stadium dengan segera.

Polis berkata empat individu ditembak tetapi tidak memperincikan keadaan mangsa, selain dilihat tiada ancaman berterusan daripada kejadian itu, setakat ini.

Terdahulu dalam kenyataan di Twitter, polis berkata mereka bertindak balas terhadap satu insiden tembakan di mana dua ditembak di luar Nationals Park.

Tidak lama kemudian polis berkata dua lagi mangsa dipercayai berkait insiden itu sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana cedera akibat ditembak.

Sementara itu, dua wartawan AFP yang berada di stadium ketika kejadian, berkata sebilangan penonton dilihat bergegas untuk keluar selepas terdengar bunyi tembakan, manakala sebahagian lagi terus berada di tempat duduk.

Pemain pula segera keluar dari padang dan perlawanan dihentikan serta-merta sejurus tembakan bertalu-talu kedengaran dari luar stadium.

Penonton perlawanan antara Washington Nationals dengan San Diego Padres itu kemudian diminta meninggalkan stadium. – AFP, 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen