Kadar vaksinasi Eropah kini lebih tinggi berbanding AS


Kesatuan Eropah kini telah memberikan 55.5 peratus penduduknya dos pertama, berbanding dengan 55.4 di Amerika Syarikat, lapor laman web statistik Our World in Data, seperti dipetik oleh menteri Eropah dari Perancis Clement Beaune. – Gambar EPA, 18 Julai, 2021.

PARA pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu meraikan program vaksinasi koronavirus mereka mengatasi kadar vaksinasi di Amerika Syarikat.

“Kami janji dan tunaikan. EU minggu ini mengatasi AS sebagai benua dengan dos pertama paling banyak diberikan di dunia ini,” tulis Komisioner Thierry Breton di Twitter.

Memetik laman web statistik Our World in Data, menteri Eropah dari Perancis, Clement Beaune menulis EU kini telah memberikan 55.5 peratus penduduknya dos pertama, berbanding dengan 55.4 di AS.

Strategi Brussels melancarkan suntikan Covid-19 dikritik secara meluas pada awal 2021, ditinggalkan Britain dan AS kerana bekalan kurang.

Tetapi Breton, yang mengendalikan kumpulan yang berusaha meningkatkan pengeluaran dan bekalan vaksin, berkata EU kini telah mengatasi AS sambil “kekal buka dan mengeksport separuh pengeluaran kita ke 100+ negara”, memuji “kecekapan dan solidariti” di Eropah.

Ketika masalah skim vaksin memuncak, presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen pada Februari mengakui kesilapan oleh pihak berkuasa Brussels.

Beliau tetap menegaskan “pertempuran melawan pandemik umpama maraton, bukan lari pecut.” – AFP, 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen