TIGA warganegara China dan dua rakyat Mauritania diculik di barat daya Mali pada Sabtu, kata angkatan bersenjata negara itu, berikutan serangan terbaharu di Sahel yang dilanda perang.
Kumpulan bersenjata menyerang sebuah tapak pembinaan terletak 55 kilometer dari bandar Kwala, merampas lima trak pikap dan menculik tebusan, kata tentera Mali di media sosial.
Penyerang juga memusnahkan peralatan termasuk kren dan trak pembuangan sampah milik syarikat pembinaan China, Covec, dan syarikat pembinaan jalan raya Mauritania, ATTM, kata tentera.
Seorang pegawai tentera Mali, yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, mangsa penculikan itu sedang bekerja membina jalan raya di wilayah itu.
“Kami utamakan pembebasan semua tebusan,” katanya.
Agensi berita Mauritania Al-Akhbar melaporkan lelaki bersenjata tiba dengan motosikal untuk menyerang tapak pembinaan, membakar peralatan dan juga tangki bahan bakar sebelum berundur dengan membawa tawanan.
AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan kisah ini secara bebas.
Mali telah berjuang untuk mengekang pemberontakan Islam yang pertama kali meletus di utara negara itu pada 2012 sebelum merebak ke negara jiran Burkina Faso dan Niger.
Ribuan orang terbunuh dan beratus-ratus ribu meninggalkan rumah mereka, sementara kesan ekonomi terhadap salah satu negara termiskin di dunia sangat dahsyat.
Penculikan sering berlaku terhadap warga Mali mahu pun warga asing.
Wartawan Perancis Olivier Dubois diculik di utara Mali pada 8 April, misalnya.
Melalui video tebusan yang diedarkan, beliau mendakwa diculik sekutu jihad terbesar di Sahel iaitu Kumpulan Penyokong Islam dan Muslim (GSIM). – AFP, 18 Julai, 2021.
Komen