Pasca banjir besar di bandar spa Jerman


Pemandangan dari udara bandar Bad Neuenahr-Ahrweiler, kelihatan sebuah kereta dibawa air hingga ke kawasan perkuburan yang ditenggelami lumpur akibat banjir. – Gambar EPA, 18 Julai, 2021.

BIASANYA pemandangan indah menyelubungi Bad Neuenahr-Ahrweiler, bandar spa di Jerman, tetapi hari ini penduduk yang masih dalam keadaan terkejut, sibuk menyodok lumpur dari jalan raya, susulan kejadian banjir paling teruk pernah melanda sejak berdekad lalu.

“Saya sudah dua hari tidak tidur,” kata Michael Kossytorz, 40, berdiri di depan lambakan sisa banjir di luar pangsapurinya.

“Ibu bapa saya lagi kesian kerana mereka tinggal berhampiran sungai. Tetapi kami terpaksa teruskan hidup,” katanya.

Bad Neuenahr-Ahrweiler yang terletak di wilayah gunung berapi di Eifel antara kawasan paling teruk terjejas akibat ribut yang setakat ini menyebabkan 140 terkorban di barat Jerman sejak Rabu.

Arus deras melimpah ke jalan raya, menenggelamkan kenderaan, pokok dan banyak lagi.

Laluan kaki lima penh dengan sampah dan perabot rosak sementara penduduk berjalan di jalanan dengan memakai but getah dan baju penuh kesan lumpuh, cuba untuk mula membersihkan keadaan pasca banjir.

Bandar itu musnah dengan begitu cepat dan bakal mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk kembali pulih. Daripada restoran makanan segera hinggalah ke bar dan kedai menjual kereta, yang tinggal hanya lumpur menjadi permaidani.

Bekalan elektrik yang terputus sejak beberapa hari lalu, dan perkhidmatan jaringan telefon hanya hampir tidak wujud – menyukarkan lagi operasi mencari mereka yang masih hilang.

Paip gas musnah dan kerja membaiki tidak akan siap sebelum Krismas. – AFP, 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen